01 April 2013

Jangan Hadkan Bantuan Karisma



TAWAU 31 Mac - Kerajaan diminta memperluaskan lagi baucar Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia @ Hati Rakyat (Kar1sma) kepada lebih ramai individu yang layak, tidak hanya mengehadkan sejumlah penerima sahaja bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, langkah itu penting bagi memastikan lebih ramai lagi masyarakat yang berkelayakan mendapat manfaat daripada bantuan itu.
"Pemberian bantuan ini amatlah bagus tetapi kenapa hanya untuk 150 orang sahaja di setiap kawasan DUN?"
"Ramai rakyat yang bertanya dan berprasangka bahawa wakil rakyat mereka bersikap pilih kasih sedangkan hanya itulah jumlah penerima yang diperuntukkan," katanya dalam majlis perasmian taklimat simulasi hari mengundi DUN Tanjung Batu, di Dewan Semai Bakti, Felda Umas di sini semalam.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Abdul Muis Picho.
Menurut Abdul Ghapur, rungutan dan aduan daripada masyarakat tentang perkara itu harus diberi perhatian dalam memastikan kebajikan semua masyarakat terus diambil kira.
Katanya, keadaan itu juga menyebabkan wakil-wakil rakyat berada dalam dilema kerana terpaksa menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan masyarakat setempat.
"Jadi saya berharap kerajaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung isu ini secepat mungkin bagi memastikan tidak diambil kesempatan oleh mana-mana pihak," katanya.
Dalam pada itu katanya, taklimat bagi memberikan kefahaman kepada jentera UMNO tentang peranan mereka dalam pilihan raya itu merupakan sebahagian daripada persediaan akhir pihaknya untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Tambahnya, pada masa ini pihaknya telah pun mempersiapkan bendera-bendera Barisan Nasional (BN) untuk dikibarkan di seluruh Parlimen Kalabakan.
"Kita kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa dan kita yakin BN akan beroleh kejayaan yang besar," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: