KANGAR -- Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan 
menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk 
berbanding merokok.
Mufti Perlis Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata mesyuarat 
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas 
membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan
 Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.
Bercakap kepada pemberita di sini Jumaat, beliau berharap MPK dapat 
menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.
Dr Juanda berkata amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa 
tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.
Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka 
sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu
 didapati membawa kemudaratan yang besar.
Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah 
dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang
 Ramadan.
Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana 
tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan 
memohon sumbangan daripada orang ramai.
Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan 
khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang 
ramai tidak akan terpengaruh.
"Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa.
BERNAMA
kredit:bb 
 

