13 April 2013

OPS Daulat Akan Dihentikan



LAHAD DATU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan bahawa Operasi Daulat yang diwujudkan sejak 5 Mac lepas bagi menangani insiden pencerobohan pengganas dari Filipina di pantai timur Sabah akan berakhir beberapa hari lagi.
Katanya operasi kepolisan dan ketenteraan bagi menghapuskan pengganas itu akan diteruskan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Kita dapat bersama di majlis yang begitu bersejarah dan bermakna di Felda Sahabat ini, sebuah kawasan yang menjadi perhatian seluruh negara dalam masa beberapa minggu. Pada mulanya, cadangan saya datang untuk isytiharkan supaya ataupun bahawa Operasi Daulat sudah berakhir.
“Sebaliknya, kalau saya berbuat demikian ia mungkin memberi gambaran yang kurang tepat. Hakikat sebenarnya Operasi Daulat akan berakhir tetapi segala tindakan polis dan ketenteraan yang perlu diambil, yang perlu dilakukan, sehingga setiap orang sama ada pengganas atau pun tali barut mereka dapat dihapuskan sama sekali.
“Tindakan-tindakan selanjutnya akan dilakukan selepas ini di bawah pemerintahan ESSCOM yang mengambil alih semua operasi bersepadu di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE),” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penghargaan Operasi Daulat di Dewan Desa Kencana, Felda Sahabat 16 di sini, Sabtu.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Pada majlis itu, Najib sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia akan menggunakan seluruh kekuatan yang ada untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan serta keutuhan wilayahnya berpandukan pelembagaan dan undang-undang negara.
Hakikatnya, kata beliau, negeri Sabah semenjak 16 September 1963 dengan keputusan serta sokongan majoriti besar rakyat negeri itu telah menyatakan bahawa mereka ingin supaya Sabah merdeka dalam Malaysia.
“Maka saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa hakikat dan fakta ini akan kekal selama-lamanya. Tiada sesiapapun sama ada pihak luar mahupun dalam negara akan dibenarkan menganggu-gugat hakikat ini,” katanya.- BERNAMA