KUALA NERANG - Kebanyakan peniaga di sini terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman selepas harga gula dinaikkan dalam Belanjawan 2014, baru-baru ini.

Sesetengah dari mereka mendakwa kenaikan harga gula itu menyebabkan kos perniagaan mereka meningkat dan tidak mampu untuk mengekalkan harga makanan dan minuman seperti sebelum ini.

Peniaga, Md Isa Shahawatali, 52, dari Medan Selera Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) berkata, kenaikan harga gula memberi kesan kepada peniaga makanan di daerah ini.

Menurutnya, ada sahaja barangan yang naik harga dari pekedai terutamanya selepas kenaikan harga minyak baru-baru ini dan kenaikan harga gula juga sangat mengejutkan peniaga kerana ia merupakan bahan utama dalam masakan.

“Kami sudah tidak dapat bertahan lagi dan terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman. Kenaikan harga gula ini sudah pasti meningkatkan kos perniagaan kami.

"Jika harga gula dinaikkan, sudah pasti bahan minuman berasaskan gula seperti minuman segera akan dinaikkan pengedar dan bagaimana kami nak menjualnya dengan harga lama.

Oleh itu bagi mengurangkan beban yang ditanggung, peniaga di sini terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman pada November nanti,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd Fikri Abd Ghani, 48, berkata, kenaikan harga gula adalah sangat tinggi kepada peniaga dan ini membebankan terutamanya kepada mereka yang menjual minuman.

“Kenaikan itu sudah pasti memberi kesan kepada penjual dan pengguna. Peniaga tiada cara lagi bagi kekalkan harga lama dan terpaksa menaikkan supaya kos perniagaan tidak membebankan kepada peniaga,” katanya.