09 March 2013

PDRM TAMBAH BILANGAN ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN DI LAHAD DATU


Kuala Lumpur, 9 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengatur
untuk menambah kekuatan anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu dan keseluruhan pantai timur Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedang berbincang berkaitan penambahan anggota untuk mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan terbabit.

"Kita akan menaikkan jumlah anggota keselamatan kita di sana. Sebelum ini, Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun mengumumkan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) di Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

"Jadi kita sedang berbincang mengenai bagaimana kita hendak menubuhkan kawasan keselamatan khas itu dan bagaimana kita hendak mengambil pendekatan dalam mewujudkan kawasan keselamatan khas tersebut," katanya pada sidang akhbar
selepas majlis penyerahan cek kepada perwira negara Lahad Datu, Sabah di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) di Sabah bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini.

Kawasan Keselamatan Khas yang berpusat di Lahad Datu itu akan menjadi pusat perintah yang menempatkan beberapa kabin sementara agar dapat berfungsi segera.

Beliau turut berkata moral anggota PDRM yang berada di sana amat tinggi, dan rata-ratanya berasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian pasukan keselamatan itu untuk berjuang dan menyelamatkan Sabah.

Pada majlis itu, Khalid menerima cek bernilai RM30,000 daripada Presiden Gurdwara Pusat Latihan Polis DSP Mender Singh untuk disumbang kepada waris perwira serta anggota yang cedera berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna.

Dalam ucapannya, beliau berkata sumbangan itu merupakan satu sokongan moral yang sangat tinggi, bukan sahaja kepada waris yang terkorban, tetapi menjadi suntikan semangat kepada para pejuang.

"Mereka (pasukan keselamatan) sedang menyerahkan jiwa raga dalam mencurah khidmat bakti dan berjuang bagi mendaulatkan negara di Sabah.

"Saya yakin sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia tanpa batasan agama, bangsa dan budaya tentulah perwira-perwira kita akan lebih bersemangat dalam meneruskan 'Op Daulat' dalam menghapuskan pengganas yang menceroboh kedaulatan
negara kita," katanya.

Khalid mengakhiri ucapan dengan harapan Sabah kembali aman sejahtera dan berharap rakyat negeri itu boleh menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Kira-kira 400 orang hadir pada majlis itu, antaranya, kaum Sikh, anggota Angkatan Tentera Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kaum Sikh dari seluruh Gurdwara di Malaysia mengadakan upacara doa yang bermula semalam hingga 17 Mac ini agar tiada lagi episod pertumpahan darah melibatkan anggota pasukan keselamatan, dan berharap krisis di Sabah dapat
diselesaikan segera.

Turut hadir Pengerusi Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) Polis Diraja Malaysia Datuk Wira Ayub Yaakob, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah. - BERNAMA

Kerajaan Filipina Berjaya Mengesan ...


Laporan terbaru tentang isu pencerobohan di Sabah!



Sila baca laporan di bawah :
Pihak berkuasa Filipina telah mengeluarkan sapina kepada salah seorang penasihat kumpulan Kiram dalam apa yang dinyatakan sebagai siasatan untuk mengungkap konspirasi mengenai apa yang sedang berlaku di Lahad Datu Sabah ketika ini.

Biro Siasatan Negara (NBI) Filipina semalam telah mengeluarkan sapina kepada strategis politik Pastor “Boy” Saycon untuk hadir di ibu pejabat NBI bagi soal siasat pada Selasa depan.
Menurut Philippine Star, jurucakap kumpulan Kiram Abraham Idjirani memberitahu bahawa sapina tersebut merupakan usaha “crackdown” kerajaan Filipina terhadap pengikut Kiram.
Sapina NBI, itu ditandatangani oleh Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perisikan Reynaldo Esmeralda, telah dihantar ke pejabat Saycon oleh ejen NBI pada jam 4 petang semalam.

Walaupun Saycon berkata beliau tidak membaca sapina itu, namun beliau memberitahu telah disapina berkaitan kes Jamalul Kiram.
Menurutnya, ramai lagi akan disapina dan Jamalul Kiram akan membentuk kumpulan peguam untuk membantu mereka yang disapina dan didakwa.
Pengarah NBI Nonnatus Rojas sebelum ini berkata biro itu telah menyiasat "orang di sebalik kejadian Sabah."
Semalam Jurucakap presiden Filipina Edwin Lacierda berkata pengikut Kiram mungkin telah terjebak dalam pergi ke Lahad Datu dengan janji USD600.
Lacierda berkata Presiden Aquino akan memberitahu Perdana Menteri Malaysia Najib Razak "bahawa terdapat 'ringleaders', dan ada yang telah tertipu."
 
"Kami telah membaca beberapa laporan media, bahawa sesetengah daripada mereka ... sebahagian 'tentera kesultanan', telah dibayar USD600 ... telah dijanjikan akan dibayar USD600. Mereka telah dijanjikan tanah, mereka telah dijanjikan jawatan dalam kesultanan. Itu tidak dinafikan, "kata Lacierda.

Filipina telah memberi amaran bahawa Kiram dan pengikut-pengikutnya bakal berdepan penangkapan bagi pelbagai kesalahan termasuk menghasut kepada peperangan dan pemilikan haram senjata api.
Presiden Aquino sebelum ini berkata kerajaan sedang menyiasat konspirasi di sebalik krisis Sabah, yang melibatkan personaliti yang dikenal pasti dengan pentadbiran sebelumnya. Beliau tidak menamakan nama, tetapi menyatakan bahawa serangan Sabah membabitkan pembiayaan yang besar dan logistik tidak boleh dinafikan.
Presiden Aquino sebelum ini marah dengan kejadian di Lahad Datu kerana percaya ia telah dihasut oleh individu tertentu untuk mensabotaj perjanjian damai kerajaan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

 
Pegawai pentadbiran memberitahu terdapat aduan Kiram dan penyokongnya adalah bahawa mereka merasakan ketinggalan dalam rundingan damai dengan MILF. Di bawah rangka kerja perjanjian damai dengan MILF, penciptaan entiti Bangsamoro akan menjejaskan tanah yang dituntut oleh kesultanan Sulu.

Penyokong Kiram di Sabah disertai oleh ahli-ahli Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dikenal pasti ada kaitan dengan bekas pengerusinya Nur Misuari, yang mendakwa puak beliau adalah pemilik sebenar Borneo Utara atau Sabah.
MNLF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada tahun 1996, tetapi gagal.
Sumber sebelum ini berkata antara konspirator yang sedang diperhatikan oleh Malacanang (Pejabat Presiden) adalah Norberto Gonzales, yang pernah berkhidmat sebagai penasihat keselamatan negara dan setiausaha pertahanan semasa pentadbiran Arroyo. Beliau bagaimanapun telah menafikan penglibatan dalam kejadian di Lahad Datu. - AgendaDaily

POLIS PERIKSA KAMPUNG SIMUNUL KESAN SAKI-BAKI SENJATA PENCEROBOH MILITAN




Semporna, 9 Mac - Polis hari ini menjalankan pemeriksaan di
Lorong 5, Kampung Simunul, di sini bagi mengesan saki-baki senjata kumpulan penceroboh militan yang terlibat dalam kejadian serangan hendap 2 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, pemeriksaan itu melibatkan kira-kira 100 anggota polis dari komando VAT 69, Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am Batalion 14 dan Unit Forensik.

"Selain untuk mengesan senjata api, kami juga membuat lakaran lokasi kejadian termasuk lakaran laut secara spesifik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama ke lokasi kejadian mendapati pemeriksaan yang bermula seawal 8 pagi dan berakhir lima jam kemudiaan mendapati rata-rata penduduk melahirkan perasaan lega apabila polis menjalankan pemeriksaan di kawasan itu.

Ketua Kampung Simunul, Ramlee Saraman berkata pemeriksaan seumpama itu adalah yang pertama sejak kejadian serangan hendap yang mengorbankan enam anggota polis dan menyebabkan enam musuh terbunuh.

"Ketika polis membuat pemeriksaan, penduduk yang berada di dalam rumah diarah tidak keluar rumah, manakala yang ingin masuk ke dalam rumah diarah tunggu sehingga pemeriksaan selesai," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pemeriksaan anggota pasukan keselamatan itu menimbulkan perasaan lega penduduk yang sebelum ini hidup dalam kebimbangan berikutan kejadian pertempuran antara polis dan penceroboh militan itu.

"Penduduk kampung kini boleh menarik nafas lega dan meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Ditanya mengenai jumlah penduduk yang kembali ke kampung, beliau berkata minggu lepas jumlah penduduk yang meninggalkan kampung ini hampir 1,000 orang tetapi hari ini hanya tinggal 300 orang yang belum pulang. - BERNAMA

TERKINI...Wanita Juga Antara Di Tahan Dalam Operasi LAHAD DATU !!!




Lahad Datu: Lebih 70 individu termasuk wanita, sebahagiannya dipercayai rakyat tempatan ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.

Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) yang digubal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penahanan yang dilakukan di luar kawasan Ops Daulat itu hasil risikan dan serbuan pegawai serta anggota Cawangan Khas Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di beberapa rumah dan premis di seluruh Sabah. Kebanyakan mereka ditahan di Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu.

Ops Daulat diteruskan pada hari keempat semalam, dengan tiga pesawat pejuang dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat berlegar di ruang udara pada sebelah pagi bagi memantau dan mengesan pergerakan musuh.

Letupan mortar juga didengari di Kampung Tanduo pada jam 2.30 petang dan 5 petang dipercayai dilepaskan dari kereta perisai pasukan keselamatan.

Tiga mayat pengganas

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di FELDA Sahabat 16, turut menunjukkan gambar tiga mayat pengganas yang dibunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu kelmarin dan baju ketua pengganas berpangkat jeneral.

Bagaimanapun Ismail berkata, nasib ketua kumpulan pengganas, Agbimuddin Kiram belum diketahui, walaupun seorang daripada yang terbunuh itu memakai pakaian jeneral.

Berdasarkan gambar baju celoreng itu tertera ‘Royal Sulu Army’ tetapi nama pada bahagian depan sebelah kiri baju sudah dipadamkan.

Menurut sumber, persoalan sama ada lelaki dibunuh itu Agbimuddin sukar dipastikan kerana ada kemungkinan adik Jamalul Kiram III mengarahkan anak buahnya memakai baju itu bagi mengelirukan pasukan keselamatan.

Ismail berkata, semua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan enam pegawai dan anggota polis Cawangan Khas yang terkorban dalam serangan hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna, 2 Mac lalu.

“Kami masih menjalankan siasatan sama ada mereka itu pengganas yang diburu pasukan keselamatan kita di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu,” katanya.

Zulkifeli berkata, sehingga petang ini, pihaknya masih menunggu Wisma Putra berkaitan dakwaan penceroboh akan menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.

“Kami menghubungi Wisma Putra dan masih tiada berita sejak pagi tadi (semalam)... tiada isyarat (serah diri dan letak senjata) daripada pihak berkenaan. Justeru, Ops Daulat diteruskan,” katanya.

Ditanya sama ada suspek terbabit memiliki MyKad atau dokumen Penduduk Tetap (PR), Ismail berkata: “Kami tidak boleh mengesahkannya kerana masih dalam siasatan.”