21 September 2013

Bom Buatan Sendiri Dirampas

image (8)
Alor Setar, 21 Sept – Polis Kedah menahan sembilan lelaki dan merampas 10 butir bom buatan sendiri dengan tujuh daripadanya belum siap sepenuhnya dalam serbuan di dua lokasi berbeza di Sungai Petani semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam operasi bermula 11.30 pagi dan berakhir 2.30 petang itu, tujuh daripada sembilan suspek berumur 14 hingga 49 tahun itu ditahan di sebuah bengkel perusahaan kecil dan sederhana manakala dua lagi di sebuah rumah.
Katanya dalam serbuan itu anggotanya merampas tiga bom telah siap dan tujuh bom lagi dalam proses pembikinan selain pelbagai peralatan seperti belerang, paip PVC dan besi.
Beliau berkata polis sedang meneliti sama ada suspek yang ditahan itu terlibat dalam dua kes berkaitan senjata api di daerah Kota Setar dan kes letupan bom yang mengakibatkan kematian seorang wanita tahun lepas di Sungai Petani atau jenayah di negeri lain.
“Bom ini mampu melambungkan sebuah kereta setinggi dua atau tiga tingkat bangunan kalau meletup. Suspek berusia 14 tahun mungkin tidak bersekolah dan kita sedang siasat motif dia terlibat dalam kumpulan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Ahmad berkata suspek yang berasal dari negeri ini dan Lembah Klang itu direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan serta motif mereka membuat 10 bom terbabit.
Beliau berkata suspek ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).
Sementara itu, Ahmad berkata menerusi Ops Cantas Khas, polis akan menjalankan pemeriksaan secara teliti terhadap orang ramai yang keluar masuk dari negara ini ke negara jiran terutama hari minggu.
Katanya bermula semalam dalam tempoh dua minggu ini, Polis Kedah telah menambah anggota untuk melakukan pemeriksaan berhampiran pintu sempadan Bukit Kayu Hitam bagi menahan sesiapa yang terlibat dalam jenayah.
Beliau berkata setakat ini 40 orang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk mereka yang terlibat dalam pertubuhan haram, dan masih disiasat untuk dituduh mengikut undang-undang yang ada. – BERNAMA

POLIS TAWAU LUMPUH KEGIATAN PALSUKAN MYKAD

Gambar Hiasan
 
Tawau, 20 Sept - Polis Tawau berjaya melumpuhkan satu kegiatan mmalsukan kad pengenalan MyKad susulan penangkapan seorang lelaki warga asing di Kampung Tawau Lama, 9 Sept lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Keong Ho Eng berkata suspek berusia 45 tahun itu baru sahaja dibebaskan daripada penjara pada Februari lalu kerana kesalahan sama.

Semasa menjalani hukuman penjara 18 bulan berserta dua sebatan itu, dia menggunakan nama lain. Dia juga telah diusir ke negara asalnya, kata Keong pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Keong, siasatan awal mendapati suspek sudah menjual 14 keping MyKad yang diubah suai pada harga RM80 setiap satu.

Suspek juga memalsukan lesen memandu yang dijual pada harga RM20, katanya.

Mengulas serbuan 6.45 petang berkenaan, Keong berkata pemeriksaan polis di rumah yang didiami oleh suspek dan sepasang suami isteri itu menemukan Sembilan MyKad palsu, tiga MyKad tidak bergambar, satu sijil lahir, dua lesen memandu dan 11 keping gambar dipercayai untuk diguna pada MyKad yang dipalsukan.

Katanya polis juga menemui pelbagai peralatan yang dipercayai diguna untuk membuat MyKad palsu terbabit, di rumah itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 25 (1) (e) Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1961.

Keong berkata polis juga menahan pasangan suami isteri berusia 50-an berkenaan selepas mereka didapati positif dadah.

18 September 2013

Troussier Pula Minat Bimbing Skuad Harimau Malaya?

philippe troussier KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini dua nama, Radojko Avramovic dan Alex Miller  pernah dikaitkan berminat untuk mengisi kerusi panas jurulatih Harimau Malaya,  kini timbul pula nama bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier.
Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikhabarkan sanggup memberi gaji  lumayan sebanyak AS$18,000 (RM59,000) sebulan.
Walaupun begitu, bekas jurulatih Jepun itu hanya bersedia memulakan rundingan  jika ditawarkan gaji tahunan $1.52 juta (RM5 juta) dengan gaji bulanan $126,805  (RM416,00).
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang ditemui enggan mengulas  lanjut mengenai spekulasi itu sambil memberitahu dia tidak tahu menahu mengenai  perkara berkenaan.
“Saya tidak tahu mengenai perkara ini dan enggan memberikan komen lanjut  mengenai spekulasi ini.
“Senarai mereka yang memohon terus bertambah dan sehingga kini, ada sebanyak  37 permohonan kami telah terima yang mana semakin ramai berminat.
Perkara ini membuatkan kita rasa gembira, namun ingin saya tegaskan itu  adalah hak jurulatih yang berminat untuk menghantar permohonan,” katanya selepas  sidang akhbar Kursus Persediaan Fizikal Jurulatih Persekutuan Bola Sepak  Antarabangsa (FIFA) di Hotel Hilton, Petaling Jaya, semalam.
Rajagobal yang masih membimbing pasukan negara mengharungi kempen kelayakan  Piala Asia 2015, masih memiliki baki kontrak bersama FAM sehingga akhir Disember  depan.
Jika jurulatih berumur 57 tahun itu masih berharap mahu membimbing Harimau  Malaya pada tahun hadapan, dia perlu memastikan pasukan negara layak ke pentas  Piala Asia yang merupakan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) paling utama.
Jelas Hamidin lagi, FAM terlebih dahulu akan berbincang sebelum membuat  sebarang keputusan sama ada mahu melanjutkan kontrak Rajagobal jika Harimau  Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia.
“FAM belum lagi membuka jawatan ini (ketua jurulatih Harimau Malaya) dan  mungkin ramai (jurulatih) mengetahui bahawa kontrak Rajagobal akan tamat pada 31  Disember depan.
“Mereka yang terdiri dari jurulatih tempatan mahupun luar negara boleh  menghantar surat permohonan tersebut tetapi FAM akan menilai terlebih dahulu  masih belum membuat sebarang keputusan,” jelasnya.-utusan.

Zamboanga City - Di Gempur Dari Udara



Zamboanga: Tentera Filipina melancarkan kempen serangan udara menggunakan helikopter penyerang terhadap pemisah Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang masih bertahan selepas lapan hari di bandar selatan ini. Dua helikopter tentera melancarkan roket ke arah pemisah MNLF di beberapa kawasan dekat pantai di sini, kata wartawan agensi berita.

“Serangan udara ini dibantu tentera darat bertujuan mengenakan tekanan ke atas musuh,” kata jurucakap tentera, Lt-Kol Ramon Zagala. Penggunaan helikopter itu adalah serangan udara pertama sejak tentera Filipina melancarkan serangan mulai Jumaat lalu bagi menamatkan tentangan pemisah yang menggunakan tawanan sebagai perisai manusia. Ditanya mengenai potensi orang awam terperangkap kerana kempen udara itu, Zagala menekankan ia adalah ‘serangan tepat’.

Awalnya, Zagala berkata, hampir 100 pemisah MNLF masih menentang askar kerajaan di dua perkampungan nelayan berkenaan, seminggu selepas mereka masuk ke Zamboanga bagi menuntut kemerdekaan. Zagala berkata, pemisah terbabit tidak akan mampu menentang tentera kerajaan lebih lama lagi.

“Mereka masih ada peluru dan menembak kami,” katanya sambil menegaskan pihaknya semakin hampir menang selepas menawan semula beberapa kedudukan musuh. “Kami tahu keadaan ini semakin hampir ke penghujung dan mereka cuba lari. Ada di kalangan mereka cuba menyamar orang awam, jadi adalah penting ketua kampung membantu kami menunjukkan siapa bukan orang sini,” katanya lagi.

Pemisah MNLF bersenjata berat masuk ke kawasan pusat bandar itu pada Isnin minggu lalu bagi mensabotaj rundingan antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bertujuan menamatkan konflik beberapa dekad lalu. Selepas wakilnya melawat Filipina, agensi hak asasi manusia New York, Human Rights Watch menyuarakan kebimbangan atas nasib orang awam yang terperangkap dalam konflik.

Kira-kira 300 orang awam di sebuah kampung berlindung dalam sebuah bangunan kilang ais selepas lari dari rumah dan ada yang enggan berpindah bagi menjaga harta benda, kata agensi itu. Hampir 70,000 sudah lari dari medan perang. Zamboanga terletak 850 kilometer di selatan Manila.

MNLF melancarkan kempen gerila untuk mencapai kemerdekaan sebelum menandatangani perjanjian damai pada 1996 yang member autonomi terhad. Pengasas MNLF, Nur Misuari menghantar anggotanya ke Zamboanga selepas menuduh kerajaan mengetepikan kumpulannya selepas mula berunding dengan MILF yang meminta kawasan autonomi diperluaskan. – AFP

17 September 2013

JANGAN BANGGAKAN CHIN PENG

SHAH ALAM - Persatuan Veteran VAT69 Komando menyelar tindakan sebahagian ahli politik pembangkang yang mengangkat kematian bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng sebagai gugurnya seorang pejuang negara.

Ahli jawatankuasa persatuan itu, Halim Ishak berkata, biarpun PKM menentang penjajah seperti Jepun dan British, namun PKM mempunyai agenda tersendiri.

Katanya, perjuangan PKM bukan untuk kemerdekaan negara tetapi menjadikan Tanah Melayu sebagai negara komunis.

"Agenda mereka sudah jelas. Jika PKM ingin membantu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, mengapa pasukan Polis Hutan turut dibunuh?

"Adakah kumpulan ini perlu diangkat sebagai pejuang negara? Sudah tentu tidak kerana keperitan yang ditanggung oleh ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang tidak dapat digambarkan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang mengangkat kematian Chin Peng sebagai pahlawan.

Mengulas perkara sama, Halim berkata, semua pihak seharusnya menjaga sensitiviti keluarga mangsa kepada kerakusan PKM sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, biarpun bersifat peribadi.

"Sebagai ahli politik, mereka sepatutnya tahu keperitan ditanggung oleh keluarga mangsa terutamanya pasukan keselamatan yang menggadaikan nyawa demi kedaulatan negara.

"Saya berpandangan, golongan ini perlu mengikuti program anjuran Veteran VAT69 Komando supaya beliau boleh 'disekolahkan' semula berhubung sejarah perjuangan pasukan keselamatan," katanya.

Semalam, Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada kira-kira 6.20 pagi kerana sakit tua, sebulan sebelum tarikh ulang tahun ke-89 kelahirannya. Chin Peng dilahirkan pada 21 Oktober 1924.

Sumber: Sinar Harian

16 September 2013

Awas Penggodam WIFI


Umum mungkin sedia maklum akan yang mana mencuri sambungan WiFi daripada pemilik lain adalah suatu kesalahan, dan kini pihak SKMM dilihat menekankan perkara berkenaan.
Mengikut apa yang dikongsikan oleh SKMM, kedua-dua pihak, iaitu mereka yang mengodam sambungan WiFi, dan mereka yang menyediakan peralatan untuknya adalah bersalah dibawah Seksyen 236 dan 239 (Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998).
Perkara ini ditekankan semula oleh pihak SKMM dengan pelbagai peralatan yang dijual oleh ramai pihak akhir-akhir ini yang membolehkan seseorang mengodam dan menggunakan rangkaian WiFi pihak lain tanpa kebenaran.
Pada masa yang sama, pihak CyberSecurity Malaysia turut mengatakan yang mana pengodaman sambungan WiFi kini adalah mudah, apatah lagi dengan pelbagai perisian yang disediakan di internet.
Apa pun, sebagai langkah mengelakkan rangkaian WiFi anda dicuri, ia dinasihatkan untuk menggunakan kata laluan yang sukar (gabungan pelbagai abjad, angka dan simbol), serta memasang firewall untuk rangkaian anda.
Sumber Rujukan: The Star

15 September 2013

Pencerobohan pejuang bersenjata MNLF telah dibendung



ZAMBOANGA - Tentera Filipina menggempur saki-baki pejuang pemisah Islam selepas operasi selama enam hari di selatan negara berkenaan yang menyaksikan berpuluh-puluh anggota pemisah terbunuh manakala sejumlah tebusan turut menyelamatkan diri, kata pihak berkuasa semalam.

Polis menganggarkan kumpulan terakhir pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) kini menahan kira-kira tujuh tebusan di bandar pelabuhan ini, selatan Filipina berbanding 100 orang pada hari sebelumnya.

"Menjelang hari ini (semalam), pencerobohan oleh MNLF bukan sahaja dapat dibendung tetapi kami mula memasuki fasa pembersihan," kata Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas.

Komen beliau meningkatkan harapan bahawa krisis yang menyebabkan seluruh kampung dibakar dan memaksa berpuluh-puluh ribu orang melarikan diri itu akan berakhir tidak lama lagi.

Jurucakap Tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, operasi siang dan malam oleh sekurang-kurangnya 3,000 askar elit kerajaan telah membunuh 43 pejuang pemisah manakala 19 lagi ditahan.

"Kini kami optimis bahawa operasi kami berkesan dan kami menyebabkan pihak musuh mengalami kekalahan teruk," katanya.

"Kami berharap operasi tentera ini akan dapat ditamatkan secepat mungkin," tambah Zagala.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa pejuang-pejuang bersenjata itu masih berbahaya manakala kehadiran orang awam di beberapa kawasan kejiranan tempat kumpulan MNLF itu bersembunyi menyebabkan pihak tentera hanya boleh menggunakan senjata ringan.

"Seramai enam anggota polis dan tentera maut manakala empat orang awam turut terbunuh dalam krisis kali ini," ujarnya.

Perkembangan positif itu beberapa jam selepas Naib Presiden Filipina, Jejomar Binay menawarkan gencatan senjata antara kerajaan dengan pemimpin MNLF, Nur Misuari.

Binay mengiringi Presiden Benigno Aquino ke bandar raya ini semalam untuk membincangkan pelan gencatan senjata yang dibangkitkan oleh beliau dengan Misuari.

"Gencatan senjata itu dijadualkan berkuat kuasa pada pukul 12 malam hari ini," kata seorang jurucakap Naib Presiden berkenaan.

Roxas mengesahkan tentang pertemuan antara Aquino dengan Binay tetapi Presiden berkenaan tidak mengarahkan tentera supaya menghentikan operasi ke atas MNLF.

Konflik tersebut bermula pada Isnin lalu apabila pasukan pejuang MNLF yang lengkap bersenjata memasuki beberapa daerah di sini dan menahan sejumlah tebusan.

Tindakan itu dilakukan bagi merosakkan rundingan damai antara Manila dengan kumpulan pemisah lain.

Pertempuran tersebut memaksa sejumlah 69,000 orang meninggalkan kediaman mereka.

Marsyal Jabatan Bomba Zamboanga, Dominador Zabala berkata, hampir 500 buah rumah dibakar oleh pejuang-pejuang MNLF.

"Mereka turut menembak ke arah jentera-jentera bomba yang dihantar untuk memadamkan kebakaran," katanya.

MNLF melancarkan perang gerila selama 25 tahun untuk mendapatkan kemerdekaan sebelum menandatangani perjanjian damai pada 1996 yang memberikan mereka pemerintahan sendiri terhad di selatan Filipina.

Misuari yang menuduh Manila melanggar syarat perjanjian 1996 dengan berunding dengan seteru MNLF telah menghilangkan diri beberapa hari sebelum pertempuran tercetus pada Isnin lalu.

Seteru Misuari, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kini dalam peringkat akhir rundingan damai dengan Manila dan dijangka mengambil alih pentadbiran autonomi lebih meluas di selatan negara itu menjelang 2016.

Majoriti penduduk di selatan negara itu adalah beragama Islam.

Aquino memberitahu, rundingan damai dengan MILF bertujuan untuk menamatkan penentangan sejak beberapa dekad lalu yang meragut sebanyak 150,000 nyawa di negara itu. - AFP 


kredit:VAT69-PerjuanganSemalam

GENG 04 - Di Berkas Di Kelab Malam





Polis Pulau Pinang menahan 18 individu termasuk tujuh wanita warga asing atas pelbagai kesalahan dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan di lima pusat hiburan di seluruh negeri, awal hari ini.


Sebanyak 14 pasukan polis terdiri daripada pegawai dan anggota terbabit dalam operasi tujuh jam berakhir jam 3 pagi ini di Seberang Perai, Queensbay, Persiaran Gurney dan sekitar pusat bandar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC Mazlan Kesah berkata, empat daripada suspek lelaki berusia antara 20-an dan 30-an disyaki anggota geng 04 berdasarkan lambang tatu pada badan mereka.

“Lapan lelaki ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala tujuh wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan ditahan atas kesalahan imigresen,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata beberapa paket dadah pelbagai jenis ditemui bertaburan di atas lantai dipercayai sengaja dicampak pengunjung pusat hiburan yang menyedari kehadiran polis.

Mazlan berkata, polis turut menjumpai tiga batang rotan sebesar pergelangan tangan dan tiga cota di dalam sebuah premis di Persiaran Gurney dipercayai digunakan sebagai senjata pergaduhan.

Sementara itu, Mazlan berkata, polis turut merampas 12 set komputer yang diubah suai menjadi mesin judi dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Seberang Perai Selatan serta menahan tiga lelaki atas kesalahan perjudian.

Katanya, seorang pemilik premis boleh didakwa mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, dua pemain judi akan siasat mengikut Seksyen 7 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000. 

Zamboanga City - Terkini

Kepungan tentera Filipina terhadap kumpulan bersenjata MNLF di Bandar Zamboanga selatan Filipina menyebabkan pertempuran di Bandar telah memasuki hari ketujuh walaupun cubaan gencatan senjata dilakukan.

Pada hari Sabtu, beribu-ribu tentera kerajaan memula serangan terhadap kumpulan pemisah Islam, yang masih menahan beberapa tebusan , yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 56 orang terbunuh.

Kira-kira 3,000 tentera kerajaan telah mengepung 200 pejuang daripada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF ) dalam usaha mengambil semula kawasan dikuasai kumpuan pemisah.

Mar Roxas, Setiausaha Dalam Negeri berkata polis menganggarkan bersenjata MNLF kini menahan beberapa orang awam sebagai tebusan di  Zamboanga , berbanding dengan angka awal lebih daripada 100 orang.

Operasi ini dilakukan selepas persetujuan gencatan senjata berakhir dengan kegagalan. Roxas berkata tentera kerajaan setakat ini telah terkandung dan sempit pejuang pemberontak.

Presiden Benigno Aquino III berkata pertempuran dijangka akan terus berlaku tetapi beribu-ribu penduduk kampung dipindahkan daripada Zamboanga.

Selain daripada mereka yang terbunuh , berpuluh-puluh lagi cedera dan lebih daripada 69,000 orang pelarian sejak pertempuran bermula pada hari Isnin, dan beratus-ratus rumah dan hospital yang telah dibakar .

Lewat pada hari Jumaat, Naib Presiden Jejomar Binay berkata beliau telah bercakapdengan Nur Misuari melalui telefon dan mereka telah bersetuju dengan gencatan senjata dan berunding untuk menyelesaikan konflik.

Gencatan senjata ini telah dijadualkan untuk berkuat kuasa pada tengah malam ( 04:00 GMT) pada hari Sabtu . Walau bagaimanapun, jurucakap prediden, Abigail Valte berkata ia tidak pernah dilaksanakan dan mendakwa pemberontak telah melancarkan serangan baru.

Seorang jurucakap tentera Leftenan Kolonel Ramon Zagala, berkata tentera tidak tahu menahu tentang mana-mana gencatan senjata. " Kami tidak menerima apa-apa perintah . Kami meneruskan operasi kami sehingga kita diberitahu sebaliknya," katanya.

Kutipan dan olahan berita : Al-Jazeera

kredit:beliabangkit

Lelaki separuh bogel mengganas cari anak dara

15 September 2013


MARANG - "Sebaik sahaja tersedar daripada tidur, saya lihat ada lelaki separuh bogel memakai topeng ‘Zorro’ berada atas badan. Saya cuba menjerit namun mulut saya penuh dengan cecair seperti minyak dan ditutup,” kata mangsa, seorang pelajar berumur 17 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pelajar terbabit mendakwa lelaki separuh bogel itu telah memasukkan cecair seperti minyak dipercayai telah dicampur bahan lain ke dalam mulutnya agar dia tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun lelaki yang tidak memakai seluar itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila bapa pelajar terbabit juga tersedar daripada tidur lalu memeriksa bilik anak perempuannya sebelum menyergah lelaki itu yang kemudiannya melarikan diri.

Menurut mangsa, lelaki terbabit hanya sempat mengambil telefon bimbit miliknya dan bersyukur kerana tidak diapa-apakan.

Namun mangsa yang tinggal di Kampung Tok Renek itu masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian menimpanya.

“Nasib baik lelaki itu tidak sempat bertindak ganas dan saya bersyukur kerana kejadian disedari bapa, namun saya tidak akan dapat melupakan kejadian itu sampai bila-bila, malah masih berasa takut seolah-olah dia akan datang semula.

“Keluarga juga risau kejadian berulang dan mereka sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung di Marang dan kami berharap lelaki itu akan dapat diberkas dengan segera” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan serta disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, difahamkan lelaki separuh bogel dipercayai mengalami masalah mental itu juga digelar sebagai ‘orang minyak’ oleh penduduk kampung kerana sering berkeliaran di sekitar Bukit Payung dan Padang Midin, Kuala Terengganu.

Malah, kelibat lelaki tanpa seluar itu berjaya dirakam penduduk di kawasan berkenaan dan diedarkan kepada umum melalui laman facebook, whatsApp dan media baru lain termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di kawasan Bukit Payung, di sini.

Kejadian itu juga menyebabkan JKKK Padang Midin dan Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu menubuhkan satu pasukan rondaan di kawasan kampung berkenaan.

Menurut Pengerusi JKKK Padang Midin, Razali Shahul Hamid, rondaan di kawasan kampung bermula pada jam 12 malam hingga 6 pagi setiap hari dan disertai ahli jawatankuasa belia BBest serta penduduk kampung tersebut.

“Rondaan ini telah dijalankan sejak dua tahun lalu dan kita adakan dengan lebih giat selepas beberapa siri kejadian membabitkan lelaki dipercayai kurang siuman yang digelar sebagai orang minyak itu dikatakan mula berkeliaran termasuk di Tok Renek.

“Tok Renek masih di bawah pentadbiran JKKK Padang Midin. Kampung ini terletak di sempadan kawasan polis Kuala Terengganu dan Marang, jadi kami akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu dua pihak berkuasa itu memberkas lelaki terbabit,” katanya. - SH