19 August 2013

Melakar Sejarah - Hafizh Juara Race2



Penunggang pasukan Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah melakar sejarah di Grand Prix Red Bull Indianapolis untuk menjadi rakyat Malaysia pertama menjuarai perlumbaan sokongan AMA Pro Vance & Hines Harley Davidson semalam.

Selepas kejayaan menempah petak ketiga pada Sabtu, Hafizh, 19, terus mempamerkan prestasi kelas dunia menerusi jentera Harley-Davidson XR1200 dalam Race 2 pada Ahad untuk mengenepikan penunggang pilihan Steve Rapp yang sebelum ini mencatat empat kemenangan berturut-turut.

"Saya cuba perbaiki prestasi pada setiap sesi. Kami bermula dengan baik pada awal perlumbaan dan kemudian kami cuba perbaiki lagi suspensi belakang untuk perlumbaan hari ini (Ahad) kerana semalam saya rasa kurang selesa semasa membelok," kata Hafizh dalam kenyataan Isnin.

Katanya: "Keadaan (jentera) bertambah baik dan sebab itu kenapa saya berjaya berada di depan. Hanya Rapp dan saya berada di depan dan saya kekal berada di tempat kedua sehingga pusingan terakhir sebelum memintasnya. Saya amat gembira mendapat tempat pertama dan ketiga hujung minggu ini".

Hafizh sebelum ini turut mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menaiki podium perlumbaan Moto2 pada pusingan kedua ‘Campeonato de Espana de Velocidad’ di Motorland Aragon, Sepanyol.

Syabas Anak Muda!!! Teruskan perjuangan anda di jalan yang betul!! 

kredit:BB

OP Cantas

17 Ogos 2013 – Pencegahan Jenayah adalah peranan dan fungsi Pasukan Polis sebagaimana termaktub dalam Seksyen 3(3) Akta Polis 1967. Pencegahan Jenayah dilaksanakan melalui 2 cara, iaitu tindakan sebelum berlakunya jenayah dan tindakan selepas berlakunya jenayah.

Walaupun terdapat penurunan kadar jenayah ini tidak bermakna masyarakat di negara ini boleh berasa selesa dan selamat, sebaliknya kita semua perlu terus bekerjasama mengembelingkan usaha bagi membendung jenayah.

Tindakan pencegahan jenayah sebelum berlakunya jenayah adalah yang paling penting di mana tanggungjawab ini seharusnya dipikul bersama oleh masyarakat dan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak Polis.

Justeru itu, pada hari ini Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah memulakan operasi bagi mencegah jenayah dengan menubuhkan satu pasukan khas yang dinamakan Op Cantas Khas, dibawah tanggungjawab ACP Kamarulzaman bin Mamat, Penolong Pengarah Tahanan/Sekatan D7B, Jabatan Siasatan Jenayah dan dibantu oleh Supt. Amir Rasid bin Derani, Superintendan Pencegahan D7A, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Buat permulaan, tumpuan diberikan kepada Kontinjen Kuala Lumpur, Selangor dan juga Negeri Sembilan dan ianya akan berterusan di semua kontinjen-kontinjen.

Usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah yang dibantu dengan kekuatan pegawai dan anggota dari daerah-daerah yang terlibat ini adalah sebahagian daripada pencegahan jenayah.

Walaupun ia seolah-olah menyusahkan pengguna jalanraya di sekitar ibu kota dan Selangor, matlamatnya adalah baik, iaitu dapat membanteras penjenayah melalui pemeriksaan terhadap kenderaan dan individu di sekatan jalanraya.


 
 
 
 










sumber:pdrm

18 August 2013

Mesir - Pyramid Operation


PONTIAN - Kerajaan bersedia melancarkan Ops Piramid untuk memindahkan lebih 3,300 rakyat Malaysia di Mesir pada bila-bila masa sahaja jika keadaan di negeri itu bertambah serius.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan telah mengarahkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ke Mesir pagi ini untuk meninjau sendiri keadaan keselamatan di sana dan akan memberikan 'isyarat' jika pemindahan perlu dilakukan.

"Kerajaan kini memantau pergolakan yang berlaku di Mesir setiap jam. Kita lihat keadaan di sana semakin membimbangkan, kawasan yang nampak reda kini bertambah panas sebab itu kita telah hantar wakil khas kita untuk tinjau sendiri keadaan di sana.

"Segala persiapan lojistik telah diletakkan dalam keadaan siap sedia dan pesawat komersil syarikat penerbangan MAS dan Air Asia juga telah tampil menawarkan diri untuk membantu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Pontian di sini hari ini.

Hishammuddin berkata jika keadaan keselamatan tidak mengizinkan untuk penggunaan lapangan terbang komersil, kerajaan akan menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membantu Ops Piramid itu.

Khamis lepas, Hishammuddin mempengerusikan mesyuarat tergempar dengan wakil agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan, MAS dan Air Asia untuk membincangkan langkah-langkah bagi memindahkan rakyat Malaysia di Mesir jika keadaan bertambah serius. - Bernama

Mesir - Save Mesir

 
Berdasarkan cerita dari anaknya (anak si syahid biiznillah) Sarah Muahammad Ali Muhammad Ibrahim :

Sesungguhnya bilangan para jenazah terlampau tinggi, dan para jenazah ini telah dibahagikan ke banyak hospital, kami yang ingin mencari jenazah Ayah terdiri daripada saya, Umar, Dr Ahmad kawan ayah saya dan Rasya sahabat kami, kami tidak tahu bagaimana mahu memulakan pencarian kecuali dengan mengagihkan setiap seorang ke satu tempat.

Ahhhhh, bertapa hancur luluhnya perasaan dan sakitnya hati saya apabila terhidu bau kematian dan saya berseorangan mencari dan membelek setiap satu jenazah dan cuba untuk mengenal pasti tanpa ada pertolongan dari sesiapa.

Sesudah itu kami menelefon antara satu sama lain bertanyakan hasil pencarian :

"Awak sudah jumpa dia?"

"Belum lagi, awak?"

"Belum"

"Ok, awak dah tengok elok-elok?"

"Ya, saya sudah tengok elok-elok, saya dah belek-belek setiap satu dari mereka, awak dah tengok elok-elok?"

"Sudah"

"Awak pasti?"

"Ya"

"Ok, kalau begitu cari lagi, mana tahu kalau awak terlepas pandang, dan saya juga akan cari sekali lagi"

"Baiklah"

Kemudian selepas beberapa minit kami bercakap di telefon sekali lagi.

"Sarah, awak sudah jumpa ke belum?"

"Belum lagi wahai Umar"

"Ok, berdekatan awak ada tak mayat yang terbakar (rentung)?"

"Ya"

"Baik, awak tengok elok-elok andai awak terjumpa apa-apa barang milik si mati yang boleh menentukan identitinya"

"Baik"


Selepas beberapa minit..


"Umar, mana beg ayah yang ada kesan darah tu?"

"Saya dah bawa balik rumah"

"Ok, letak dalam plastik dan ikat elok-elok"

"Kenapa"

"Sebab ada empat mayat rentung secara total dan tanpa apa-apa identiti, dan hanya satu cara untuk kenal pasti adalah dengan ujian DNA , dan saksi mengatakan ayah berada di tempat yang terbakar."

"Baiklah wahai Sarah, tetapi ni maknanya kita hanya akan tahu keputusannya selepas sebulan"

"Kita nak cakap apa pada ibu? Ibu mesti tidak dapat mengawal dirinya"

"Kita terpaksa membohonginya"

"Maksudnya kita nak cakap apa?"

"Awak fikirkan, dan saya juga akan fikir kemudian kita akan bercakap dengannya"

Maka perbualan kami menyusuri 48 jam ini hanyalah berkaitan kematian dan jenazah, mangsa cedera dan mangsa terbakar. Hati-hati kami perit, terus berdiri di atas kedua kaki kami dengan kekuatan yang tidak tahu dari mana datangnya.

Seumur hidup kami tidak pernah terbayang bahawa kami akan terpaksa berjalan di dalam lautan darah di antara jenazah-jenazah, dan itu hanyalah kerana kami mencari jenazah ayah kami yang sudah meninggal, bukan yang hidup.

Kemudian,

Selepas 48 jam berada di antara para jenazah, 600 jenazah, 40 jenazah yang rentung.

Kami berpusing-pusing di antara rumah-rumah mayat dan hospital-hospital, meneliti wajah-wajah, memeriksa jenazah-jenazah dan mendekatkan muka kami pada setiap wajah, sehingga kami tidak tahu apa perasaan yang sewajarnya kami rasa, sama ada untuk bersedih setelah menjumpainya atau merasa lega kerana telah menemui jenazahnya.

Kami terpaksa melangkah jenazah-jenazah kerana tiada ruang untuk bergerak, kaki kami berulang-alik di dalam darah, kami dekatkan wajah untuk mengecam, tapi kecederaan menyukarkan pengecaman.

Kami periksa jenazah yang rentung dan meneliti sebaik mungkin, mungkin kami akan menemui sebarang tanda pengenalan ayah.

Bau jenazah menyelubungi persekitaran kami.
Darah telah membasahi tudung-tudung kami.
Tembakan sentiasa dilepaskan kemana saja kami pergi,
Kami tetap yakin kami akan menemuinya.

Selepas kami hampir putus harapan, ada seseorang menghubungi kami dan mengatakan bahawa jenazah ayah telah dibuang dari kenderaan di tepi jalan berhampiran rumah mayat, saya terus berlari.

Akhirnya kami menemuinya..

Satu peluru menembusi lehernya,
dan satu peluru menembusi pipi ke belakang telinganya.

Kami gembira menemuinya seolah-olah kami telah menemui jenazah ayah dalam keadaan hidup,

Ayah telah pergi...

Sumber : محمد مرسي رئيساً للجمهورية

DiGanggu Hantu Raya

Sejak dari dulu lagi, kita telah dihidangkan dengan kisah pelbagai jenis hantu antaranya hantu langsuir, hantu galah dan hantu raya. Di bawah ini adalah satu dari sebuah kisah benar mengenai seorang pramugari yang telah ditiduri oleh hantu raya. Sepasukan ahli perubatan Islam hadir untuk membantu membuang gangguan tersebut. Jom baca kisah di bawah ini.


Cuaca pada malam itu agak dingin. Semua penghuni rumah teres dua tingkat di Nilai, Negeri Sembilan itu sudah tidur semasa Keena pulang daripada kerja. Pada masa itu jarum jam menunjukkan pukul 11 malam. Pramugari itu terus ke bilik air untuk membersihkan tubuh setelah 13 jam mengharung penerbangan dari London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Sedang dia asyik menghayati siraman air suam kuku, tiba-tiba pandangan mata Keena terarah kepada sebuah objek yang melekat pada cermin pemisah bilik airnya. Dek terlalu letih, Keena tidak banyak berfikir. Dia menyangkakan objek itu mungkin seekor kelawar yang tersesat ke dalam kamar mandinya. Seketika kemudian objek berwarna hitam itu lenyap.

“Bila di amati betul-betul ia seolah-olah tapak tangan lembaga hitam yang diletakkan pada cermin itu,” tutur Keena, 37.


Putus Tunang

Sejak setahun lalu, ibu tunggal itu sudah terbiasa dengan kejadian pelik di rumahnya. Rumah didiami Keena bersama ibu, adik dan seorang anak lelakinya.
Bacaan doa dan ayat-ayat suci Al-Quran untuk rawatan menghalau hantu raya
Malah, adik perempuan Keena mendakwa pernah melihat makhluk seakan-akan beruk besar berdiri di atas bumbung rumahnya. Jelas Keena, sejak bercerai dengan suaminya enam tahun lalu, rumah itu tidak lagi tenteram seperti dahulu.

Ada sahaja gangguan misteri berlaku. Daripada bunyi bising hinggalah jelmaan makhluk hitam berbulu yang menemani tidurnya.

“Lampu terpadam tiba-tiba, bunyi orang sedang berjalan dan benda mencakar dinding sudah menjadi perkara biasa buat saya. Kadang-kadang ada bunyi guli melantun di atas siling.

“Semasa tidur pula ada makhluk berbulu hitam pekat sering menindih saya. Apabila dibacakan ayat Kursi dan dilaungkan azan ia akan hilang tetapi akan muncul semula.
Laungan azan merupakan salah satu kaedah rawatan
SEMASA azan dilaungkan terdapat bunyi seakan-akan almari diketuk. “Bukan itu sahaja, sejak mengalami gangguan itu, emosi saya selalu tidak stabil. Saya menjadi semakin panas baran dan mudah marah,” jelas Keena dalam nada sugul kepada Jurnal.

Dia tidak sahaja diganggu oleh bunyi-bunyi aneh dan jelmaan makhluk yang menyeramkan, bahkan kehidupan peribadi Keena turut merudum.

Setelah bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang pramugara pada tahun 2006, Keena mengalami banyak kegagalan dalam percintaan.

“Dalam tempoh itu saya sudah bertunang sebanyak tiga kali. Apabila hampir untuk diijabkabulkan, hubungan kami terputus tanpa sebab. Saya baru sahaja putus tunang dengan seorang mualaf.

“Dia tiba-tiba tidak jadi berkahwin dengan saya walaupun hanya tinggal seminggu lagi. Saya bingung, mengapa semua ini berlaku?” kata Keena.

Menyedari keanehan itu, Keena berjumpa ramai pakar perubatan Islam untuk mendapatkan rawatan. Malangnya keanehan berlaku lagi sewaktu dia membawa seorang ustaz ke rumahnya untuk berubat. Dalam perjalanan itu, kereta mereka dihalang oleh seekor ular besar berwarna hitam.

Ular itu bagaikan hendak menghalang ustaz itu daripada tiba ke rumah Keena.

“Sewaktu menjemput seorang ustaz daripada jalan utama ke kawasan rumah saya, konvoi kami dihalang oleh ular itu.


Disetubuhi
“Ular berwarna hitam yang berdiri setinggi kereta itu berada betul-betul di tengah laluan kami sebelum ia tiba-tiba lenyap.

“Anak saya memberitahu bahawa dia seperti sedang menonton rancangan National Geographic secara langsung. Itulah pertama kali saya melihat ular yang begitu besar,” tutur Keena.

Menurut seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafei, Keena sebenarnya menderita akibat disihir dan diganggu hantu raya.

“Makhluk berbulu yang sering dilihat Keena itu kalau di kampung dipanggil hantu raya. Ia dibela sejak zaman-berzaman dan dihantar untuk memecahbelahkan kehidupan orang lain.

“Dalam diri Keena sendiri ada makhluk halus yang bersarang. Kerana itulah emosi dia kerap terganggu kerana terdapat kesan lebam pada tubuhnya,” tutur Shamsuri.

Tambah Shamsuri, lebih teruk apabila makhluk berbulu setinggi manusia biasa itu boleh melakukan persetubuhan dengan mangsa.

“Ada mangsa gangguan hantu raya yang mengaku dia disetubuhi oleh makhluk itu. Biarpun dalam keadaan tidak sedar, tetapi ciri-ciri seperti seseorang yang selesai bersetubuh itu terdapat pada mangsa,” tambah Shamsuri.

Baru-baru ini, Shamsuri melakukan proses menghalau makhluk tersebut dan memagar rumah Keena dengan bacaan ayat-ayat ruqyah.
Pengamal perubatan Islam, En. Shamsuri Shafei ketika merawat Keena
Setiap bilik di rumah Keena dibacakan ayat-ayat suci berserta bacaan doa untuk menghalau makhluk ghaib tersebut. Sebuah bilik di bahagian belakang yang didakwa oleh Shamsuri sebagai tempat hantu raya tersebut duduk dilaungkan dengan alunan azan.

Ketika Shamsuri dan tiga orang pembantunya melaungkan azan secara serentak itu, perhatian Jurnal tertarik oleh bunyi dari sebuah almari.

Bunyi jari telunjuk yang mengetuk pintu almari itu bersahutan sebanyak empat kali sebelum ia berhenti.

Jelas Shamsuri, apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran dan azan, makhluk halus tersebut akan berasa panas dan marah. Seterusnya akan kedengaran bunyi-bunyi seperti mencakar dinding, bunyi cawan dan harimau mengaum.

“Tanda-tanda ini akan berlaku pada waktu malam selepas ia dihalau. Ini bermakna ia tidak akan mengganggu lagi mangsanya,” kata Shamsuri.

P/s: Bagi mengelakkan kita diganggu semasa tidur, amalkan bacaan ayataul kursi, bacaan tiga qul, dan jangan lupa membaca doa sebelum tidur. Apa yang paling penting,pastikan kita tidur dalam keadaan berwudu’. InsyaAllah jangan lupa amalkan itu semua.
sumber: Kosmo