10 December 2012

Harimau Malaya Raih Keputusan Seri





[Image: 905423_280_preview.jpg?ITEM_ENT_ID=90542...ONF_ID=280]

Malaysia seri 1-1 dengan Thailand di Stadium Bukit Jalil pada malam Ahad dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012.
Norshahrul Idlan Talaha telah membuka tirai untuk Malaysia dari hantaran tepat Mahali Jasuli dari sayap kanan pada minit ke 49. Malangnya, Thailand berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan penyerang bintang Teerasil Dangda 30 minit kemudian.

Malaysia akan bertemu Thailand dalam perlawanan kedua pada 13 Disember di Stadium Supachalasai, Bangkok. Perlawanan peringkat separuh akhir pertama ini antara Thailand yang menduduki tempat 152 ranking FIFA dengan pasukan tuan rumah Malaysia, yang menduduki tempat ke 163 bermula dengan gerakan serangan Harimau Malaya dari minit pertama.


Ketua pasukan Safiq Rahim mengambil tendangan sudut pertama pada minit kelima tetapi hantarannya gagal lepas benteng pertahanan Thailand.


Thailand bertindak dengan serangan balas pada minit ke 12 dan Adul Lahso melepaskan rembatan dari jarak jauh tetapi Farizal Marlias membuat halangan penting.


Tiga minit kemudian, Malaysia mendapat tendangan sudut kedua tetapi pengadil menghentikan perlawanan seketika akibat masalah lampu laser.


Malayasia teruskan serangan tetapi Thailand membalas dengan gerakan pantas yang akhirnya ditangani Gary Robbat. Norshahrul Idlan Talaha cuba menggelecek lepas benteng pertahanan Thailand pada minit ke 18 tetapi hilang kawalan dan Bunyamin Umar merampas bola kembali di sayap kanan dan memberi hantaran kepada Azamuddin Akil tetapi tandukannya tersasar.


Teerasil kemudian dilayangkan kad kuning pada minit ke 23 akibat mengasari Azamuddin dari belakang. Thailand jelas dikejutkan oleh usaha Malaysia.


Pichitphong Choeichiu memberi rembatan kencang dari jauh empat minit kemudian tetapi Farizal memesongnya keluar.


Anucha kemudian melancarkan serangan dari sayap kiri dan Teerasil membuat hantaran tetapi Farizal menyerlah dan menangkap bola dengan kemas.


Satu-satunya sumbangan Safiq dalam perlawanan adalah tendangan percuma pada minit ke 34 yang ditepis keluar oleh Kawin dengan baik dan keputusan kekal seri tanpa gol pada masa rehat.


Babak kedua bermula dengan rentak yang sama dan Harimau Malaya akhirnya membuka tirai pada minit ke 49 apabila Mahali melepasi penanda beliau di sayap kanan dan memberi hantaran tepat yang ditanduk masuk oleh Norshahrul dengan senang.


Thailand meningkatkan lagi prestasi dan Malaysia tidak mempunyai banyak peluang untuk menyerang terutama apabila Safee Sali dan S. Kunalan menggantikan Amar Rohidan dan Baddrol Bakhtiar pada minit ke 73.


Gerakan Malaysia terus merosot dan Teerasil menyamakan kedudukan dengan tandukan baik pada minit ke 79 dari hantaran jauh.


Beberapa minit kemudian, jurulatih Thailand Winfried Schaefer diarahkan untuk meninggalkan bangku simpanan akibat meluahkan perasaan dan keputusan seri 1-1 kekal hinggal wisel penamat.

No comments: