21 December 2012

JOM MATI!




Kematian atau maut adalah persoalan yang dibahaskan sejak sama dahulu lagi, sama ada dari sudut falsafah atau pun kepercayaan khurafat, atau perubatan. Islam mengajar penganutnya agar beriman dengan kematian dan bersedia untuk menghadapinya. Kerana kematian itu adalah sesuatu yang pasti berlaku, sebagaimana firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: "Apabila sampai ajal maut seseorang maka manusia TIDAK berupaya menunda mahu pun mempercepatkan, walau sesaat pun." (Surah al-A'raf : 34)


Keberkesanan konsep kematian yang disuburkan di dalam sanubari orang beriman dapat dilihat pada reaksi mereka ketika berhadapan dengan kematian sanak saudara, sahabat handai, orang yang disayangi atau menanti saat kematian diri sendiri. Orang yang beriman lebih tenang dalam situasi begini, hasil manifestasi daripada sifat redha mereka terhadap apa jua ketetapan Allah.
Ini berlainan sekali dengan tingkah laku orang yang tidak beriman. Apabila maut datang kepada mereka atau orang di sekeliling, mereka memberontak, meraung, menyalahkan takdir, tertekan, menanggung kekecewaan yang melampau dan malah melakukan tindakan keterlaluan seperti membunuh diri dan sebagainya. Kerana terlalu takutkan kematian mereka berusaha melarikan diri daripadanya tanpa menyedari bahawa perbuatan mereka itu sia-sia. Allah sendiri menjelaskan perkara ini seperti berikut:

Maksudnya: "Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." (Surah al-Nisa 4 : 78)

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)." (Surah al-Jumu'ah 62 : 8)
Apabila di neraka, perkara sebaliknya berlaku. Kerana seksaan yang maha dahsyat, orang kafir yang dahulunya takutkan kematian mengharapkan pula kematian untuk melepaskan diri daripada azab ini. Tetapi malangnya tiada lagi kematian di neraka. Senario ini diungkapkan dalam firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: "Dia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya) dan dia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang dia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu) dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat." (Surah Ibrahim 14 : 17)
Bagi orang beriman kematian itu adalah rahmat dan pasport untuk bertemu dengan Allah s.w.t. dan meraih ganjaran syurga yang sekian lama didambakan. Sebaliknya, orang kafir meratapinya dan berharap untuk dipanjangkan umar atau dikembalikan ke dunia demi menebus segala kesalahan mereka. Allah s.w.t. menceritakan tingkah laku mereka seperti berikut:

Maksudnya: "Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia)." (Surah al-Mukminun 23 : 99)

Maksudnya: "Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi kalangan orang yang soleh." (Surah al-Munafiqun 63 : 10)

No comments: