20 Di Tahan Di Semporna
Gambar Hiasan
Kota
Kinabalu, 29 Dis - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)
semalam melancarkan Ops GASAK 2 di Pulau Kalapuan, perairan Semporna
yang menyaksikan 20 individu termasuk enam wanita dan lima kanak-kanak
ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri
yang sah.
Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata
kesemua suspek berusia dalam lingkungan empat bulan hingga 50 tahun
ditahan pada operasi yang bermula seawal pukul 3.30 pagi berakhir
kira-kira pukul 2.30 petang.
"Hasil pemeriksaan mendapati
seramai sembilan lelaki dewasa, enam wanita dewasa dan seorang
kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan yang tidak memiliki
dokumen perjalanan atau pun pengenalan diri yang sah dan telah ditahan
pemeriksaan lanjut oleh pihak Jabatan Imigresen.
"Pulau
Kalapuan didiami penduduk seramai 665 orang, termasuk 149 lelaki, 235
wanita, 135 orang kanak-kanak lelaki dan 126 orang kanak-kanak
perempuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohammad berkata Ops GASAK 2 merupakan susulan kepada Ops GASAK 1 yang
dilancarkan pada 24 Nov lepas melibatkan empat pulau iaitu Pulau Pom
Pom, Pulau Mataking, Pulau Mabul dan Kapalai.
Beliau berkata OP
GASAK 2 antara lain bertujuan untuk pencegahan dan pembersihan kawasan
dari penceroboh dan penjenayah termasuk aktiviti dadah dengan modus
operandi tertumpu kepada pemeriksaan dari rumah ke rumah.
Mohammad berkata sebanyak 90 rumah diperiksa dalam operasi bersepadu
yang dilaksanakan membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan
termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen,
Jabatan Pendaftaran Negara dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah.
Beliau berkata operasi seumpama itu akan diteruskan di kawasan pulau
yang mempunyai penempatan dan kawasan penempatan lain (selain dari
Pulau).
Sehubungan itu, Mohammad memohon kerjasama penduduk di
kawasan terbabit supaya melaporkan kehadiran pendatang tanpa izin (PATI)
atau mereka yang dalam keadaan meragukan.
Mohammad turut
memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang
memberi perlindungan kepada PATI khususnya yang menyewakan rumah kepada
mereka. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment