23 September 2013

Krisis Zamboanga - Misuari Didakwa


 
 Manila: Polis Filipina mula mengemukakan pendakwaan jenayah dan pemberontakan terhadap lebih 200 pemisah Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) kerana menyerang Zamboanga serta mengambil tebusan lebih dua minggu lalu.

Serangan itu memaksa pihak berkuasa menghantar beribu-ribu askar ke Zamboanga bagi menamatkan ketegangan, kata pendakwa di sini semalam.


Kumpulan pertama pemisah yang didakwa ialah pemimpin bersenjata tertingginya, Habier Malik dan tiga lagi yang masih bebas, kata pendakwa kanan, Aristotle Reyes said.

Sebanyak 25 aduan lagi dikenakan ke atas mereka yang sudah ditahan atau menyerah diri.

Dakwaan seterusnya akan dikemukakan ke atas pemimpin MNLF, Nur Misuari (gambar) kerana bersubahat dan menawan kawasan penduduk serta menjadikan mereka tebusan sekali gus melanggar undang-undang menekankan kepada menghormati prinsip kemanusiaan.

Terlepas kepungan

Di Zamboanga, panglima MNLF, Habier Malik yang mengetuai serangan di sini mungkin terlepas kepungan tentera dan sudah berada di Sulu.

Malik adalah orang kanan Nur Misuari dan mengetuai anggota MNLF masuk ke Zamboanga pada 9 September lalu.

Dia dilaporkan berjaya lari daripada ditahan askar Filipina dengan menggunakan bot laju, meninggalkan anggota MNLF lain yang masih berada di sini, lapor sumber perisikan kepada Manila Times.

Tidak dapat dipastikan sama ada Malik yang menghadapi tuduhan memberontak sudah ada di Sulu atau berlindung di Basilan, tidak jauh dari sini.

Ada juga laporan lain mengatakan Malik masih terperangkap di Santa Catalina.

Malik pernah menahan lebih sedozen tebusan termasuk Jeneral Benjamin Dolorfino di Sulu pada 2007.

Anggota pemisah dibawah Malik dan Khaid Ajibun menahan Dolorfino dan Setiausaha Rendah Pertahanan, Ramon Santos dan 23 askar dan petugas penasihat damai, Jesus Dureza ketika menuntut pembebasan Misuari yang ditahan di Manila atas dakwaan memberontak.

Misuari menandatangani perjanjian damai dengan Manila pada September 1996, menamatkan pemberontakan lebih 20 tahun di Mindanao.

Kurang bekalan makanan

Pertempuran masih berlaku sekali sekala di Zamboanga dengan pihak berkuasa berkata, pemisah kini semakin kekurangan bekalan makanan dan peluru selepas tentera menawan semula beberapa kedudukan strategik di sebuah perkampungan Santa Barbara daripada pemberontak MNLF.

Tentera berkata, sekurang-kurangnya 78 pemisah sudah terbunuh dan lebih 130 lagi sama ada ditahan atau menyerah diri.

Seramai 15 anggota tentera dan polis juga terkorban dalam pertempuran manakala 126 lagi cedera.


AGENSI

22 September 2013

Sindiket Dadah Tumpas

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

PULAU PINANG 22 Sept. - Kegiatan satu sindiket memproses dadah yang berselindung di sebalik sebuah premis melebur emas yang dijadikan sebagai makmal pemprosesan akhirnya terbongkar apabila sepasukan polis menyerbu sebuah rumah kedai di Bandar Baru Falim, Air Itam di sini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, polis berjaya memasuki premis berkenaan setelah memecahkan tiga pintu dengan menggunakan alat pemotong besi.

Dalam serbuan tersebut, tiga ahli sindiket terbabit berjaya ditahan biarpun mereka dikesan telah memotong wayar elektrik yang disambung bagi mengawal pintu besi premis berkenaan bagi menghalang dimasuki anggota polis.

Bagaimanapun, sebaik berjaya memasuki premis terbabit, polis menemukan 12 butir peluru dan beberapa peralatan memasak dipercayai digunakan bagi memproses dadah serta barang-barang peralatan melebur emas.

Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam yang diterima selepas curiga dengan kegiatan sindiket terbabit di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan menerima laporan mengenai serbuan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut. - UM

Lelaki Di Tembak Setelah Serang Polis

PEKAN 22 Sept. - Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam satu kes curi cedera ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dengan parang di Jalan Dara dekat kawasan ladang Felda Chini di sini 5.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata, terdahulu polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan suspek, 45, dipercayai sedang mencuri buah kelapa sawit di ladang berkenaan sebelum tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Semasa tiba di kawasan ladang berkenaan, polis mengepung untuk memberkas suspek namun dia bertindak agresif sebelum menyerang anggota polis terbabit dengan parang.

"Suspek yang tidak mahu menyerah diri itu bertindak melibas parang berkenaan ke arah anggota polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, tembakan itu mengenai bahagian perut dan dada suspek.

"Berdasarkan siasatan awal suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau," katanya.

Katanya, suspek kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 307 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Fenomena Air Pasang Surut

Kuasa Allah tiada siapa pun boleh menghalangnya. Allah Maha Besar!

Satu kejadian dan fenomena air pasang surut bertukar tragedi apabila gelombang besar setinggi 20 meter yang dipengaruhi oleh taufan "Trami" melanda Sungai Qiantang Haining. Laoyancang. Fenomena air pasang surut ini amat jarang berlaku menyebabkan ribuan orang datang untuk melihat sendiri.

Walau bagaimanapun, fenomena yang menyeronokkan itu bertukar tragedi yang memusnahkan tembok dinding penghadang air pasang surut setinggi 20 meter, menyebabkan kecederaan yang hampir 30 orang pelancong.










Wartawan dikejar warga asing



 
 KUALA LUMPUR - Paparan sisipan X-klusif mengenai kebanjiran warga asing mendominasi kawasan-kawasan tertentu di Lembah Klang yang disiarkan Rabu lalu, mendapat pelbagai reaksi pembaca.

Pejabat operasi Sinar Harian di Shah Alam, dihujani panggilan telefon daripada pembaca yang rata-ratanya memuji usaha meninjau kawasan terbabit.

Semalam, sekali lagi wartawan dan jurufoto Sinar Harian melakukan tinjauan di Jalan Silang, sebaik menerima maklumat terdapat aktiviti perjudian di kalangan warga asing di salah sebuah kedai makan di situ.

Bagi mendapatkan kesahihan itu, kami menyelinap masuk ke dalam kedai makan dimaksudkan oleh orang yang memberi maklumat.

Selepas hampir satu jam menunggu, sekumpulan lelaki warga Bangladesh berusia antara awal 30-an dan 40-an muncul dan duduk di meja berhampiran.

Kumpulan itu dilihat bersembang selama beberapa minit sebelum salah seorang daripada mereka menyusun buah dam.

Gerak-geri mereka diperhatikan oleh wartawan Sinar Harian. Ternyata sangkaan mereka mahu bermain dam meleset apabila salah seorang daripada warga Bangladesh yang agak tua mula mengeluarkan wang secara sembunyi-sembunyi dari bawah meja.

Jurufoto Sinar Harian cuba merakamkan gerak-geri kumpulan warga Bangladesh itu, namun tidak berjaya kerana mereka bijak menyembunyikan wang terbabit, namun selepas beberapa ketika, kehadiran kami mula disedari mereka.

Ketika itu wartawan, Ahmad Ismadi Ismail dan jurufoto, Zulfadhli Ahmad Zaki berhadapan detik cemas apabila kumpulan terdiri daripada lima lelaki warga Bangladesh itu bangun dari kerusi dan berkata sesuatu dalam bahasa mereka, sebelum bertindak mengejar kedua-dua mereka.

Mereka terpaksa melarikan diri sejauh kira-kira 100 meter dan bersembunyi di salah sebuah restoran makanan segera selepas melihat kelima-lima lelaki Bangladesh itu memegang senjata seperti pisau lipat.

Selepas keadaan reda, wartawan dan jurufoto bergegas keluar dari kawasan berkenaan.

Sementara itu, jejambat di Kampung Pandan Dalam dekat sini turut menjadi lokasi tumpuan warga asing berkumpul.

Seperti di Jalan Silang, kawasan bawah jejambat itu turut dijadikan 'port' bermain judi secara terbuka selain aktiviti tidak sihat lain. - Sinar Harian


Foto: Warga asing berani melakukan aktiviti berjudi secara terbuka di ibu negara. Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI AHMAD ZAKI