26 July 2013

PESARA POLIS BERKHIDMAT SEMASA DARURAT BAKAL TERIMA PINGAT


 

Kuching, 26 Julai - Pengorbanan kira-kira 149,000 pesara polis
yang berkhidmat di zaman darurat menentang komunis, bakal dihargai melalui penganugerahan pingat khas sebagai mengiktiraf kepahlawanan mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pingat itu seakan Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang diperkenal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang berkhidmat ketika era darurat.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara prinsipnya sudah bersetuju dengan cadangan mewujudkan pingat itu. Hanya tinggal dua atau tiga perkara lagi yang perlu diperhalusi sebelum cadangan dibawa ke mesyuarat kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Tabung Amanah Warisan Polis kepada 90 penerima terdiri daripada bekas polis dan balu anggota polis di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata sekiranya sempat dibentangkan di Parlimen pada September ini, dan dimasukkan ke dalam Belanjawan, pingat itu dijangkakan akan dapat dianugerahkan pada tahun depan.

"Pingat ini besar ertinya kepada bekas polis yang menentang komunis. Pingat ini akan diberikan kepada mereka yang berkhidmat semasa darurat iaitu dari 1969 hingga 1989 di Semenanjung, dan dari tahun 1960 hingga 1990 kepada polis yang berkhidmat di Sarawak," katanya.

Wan Junaidi dalam pada itu turut berharap pengiktirafan akan turut diberikankepada polis yang berkhidmat di Sarawak pada 1952 menentang komunis walaupun pengisytiharan darurat di negeri ini hanya bermula pada 1960.

"Pada tahun tersebut (1952), tiga balai polis iaitu Balai Polis Batu Niah, Sebuti dan Limbang turut diserang pengganas komunis. Empat anggota polis terkorban dalam peristiwa itu, jadi saya harap mereka yang berkhidmat pada tahun tersebut turut akan menerima pingat ini," katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata beliau memberi perhatian dan akan membawa masalah yang dihadapi 1,000 pesara polis dari Sarawak yang memohon saguhati khas kerajaan, namun ditolak selepas borang mereka gagal sampai ke KDN dalam tempoh
yang diberikan.

"Saya akan bawa perkara ini ke Kabinet untuk tentukan mengikut senarai yang dikeluarkan Persatuan Bekas Polis Sarawak," katanya. - BERNAMA 

kredit:VAT69-PerjuanganSemalam

No comments: