26 July 2013

Sekadar Renungan Bersama

 

Dari Abu Sa’id al Khudri, Sabda Rasulullah Sallallahualaihiwasallam maksudnya: “  Sesiapa yang membaca surah al-kahfi pada hari Jumaat, nescaya Allah akan mengurniakan kepadanya cahaya antara dua jumaat.”  (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Pengajaran: Selain dari membaca surah Yasin, baca juga surah al-Kahfi kerana kurniaan cahaya dari Allah kepada kita amat penting sebagai penyuluh hidup di dunia dan di akhirat.


FADHILAT ASMA’UL HUSNA – AR-RAHMAN


Yang Maha Pengasih – Pemberi rahmat, kenikmatan dan kemakmuran kepada makhluknya tanpa perbezaan.

Fadhilat Ar-Rahman


Dizikirkan ‘Ya Rahman’ setiap lepas solat sebanyak 100 X, Insya’Allah, akan dapat menghakis sifat ‘keras hati’ dan sikap tidak bertimbng rasa.

Apabila dizikirkan ‘Ya Rahman’ sesudah setiap solat 5 waktu sebanyak 100 X atau 500 X, Insya’Allah, ia akan terjaga dari sifat pelupa, lalai dan gugup. Hati akan menjadi terang, tenang dan mempunyai ingatan baik, fikiran tegas serta murah hati.


IBADAH BUKAN HANYA DI TIKAR SEMBAHYANG


Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya merebut peluang terbentang hanya setahun sekali pada Ramadan. Sesiapa tidak mempedulikan kedatangan Ramadan, sebenarnya menolak kelebihan yang hanya disediakan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan berpuasa di bulan Ramadan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga.” (Riwayat Bukhari)

Orang beriman gembira sambut Ramadan 


Sabda Rasulullah SAW: “Pada setiap malam bulan Ramadan, Allah berfirman tiga kali: “Apabila ada orang yang meminta, maka Aku akan tunaikan permintaannya, jika ada orang yang meminta ampun, maka Aku akan ampun.” (Riwayat Tirmizi)

Orang yang bakal memperoleh kejayaan sepanjang Ramadan adalah mereka yang menghargai kedatangan Ramadan. Orang beriman menyambutnya dengan perasaan gembira dan jiwanya berkobar-kobar menghidupkan seluruh waktu bulan Ramadan dengan ibadat.

Sabda Rasulullah SAW: “Dikunjungi bulan Ramadan, penghulu segala bulan, ucaplah selamat datang atas ketibaan bulan ibadat yang penuh berkat dan rahmat, maka layanlah tetamu yang sedang datang itu.” (Riwayat Thabrani)

Layanan terhadap Ramadan bermakna tidak mempersia-siakan masa dan peluang melakukan ibadat. Inilah peluang untuk menambah pahala dan menampung kekurangan atau kecacatan ibadat yang dilakukan sepanjang 11 bulan lalu.

Sesungguhnya konsep ibadat yang boleh dilakukan oleh setiap Muslim untuk menambah pahala pada bulan Ramadan sungguh luas. Ia bukan sekadar menunaikan puasa pada sebelah siangnya dan bertarawih pada malamnya.

Sesiapa melakukan perkara menepati konsep apa yang disuruh dan menjauhkan yang dilarang, sebenarnya dia telah melakukan satu kebaikan atau ibadat. Melakukan kerja dan urusan kehidupan seharian juga dikira ibadat jika dilakukan mengikut syariat.

Lakukan perkara berfaedah


Oleh itu, tindakan sesetengah individu menghentikan atau mengurangkan tumpuan kepada urusan kehidupan seharian pada Ramadan bukan satu langkah bijak. Apa yang sepatutnya dilakukan ialah memenuhi setiap waktu dengan perkara berfaedah.

Peluang menghampirkan diri kepada Allah SWT bukan hanya ketika di tikar sembahyang atau beriktikaf di masjid. Jika benar-benar mencari peluang kebaikan, di mana-mana saja kita berada boleh mendampingi Allah SWT dengan selalu mengingati-Nya, berzikir, beristighfar dan doa.

Sabda Rasulullah SAW: “Pada setiap malam bulan Ramadan, Allah berfirman tiga kali: “Apabila ada orang yang meminta, maka Aku akan tunaikan permintaannya, jika ada orang yang meminta ampun, maka Aku akan ampun.” (Riwayat Tirmizi)

Sesiapa menghampiri Allah SWT dengan apa sekalipun, maka pasti Allah SWT menghampirinya dengan jarak berganda. Sudah pasti sesiapa merasakan dirinya sentiasa hampir dengan Allah SWT, mendapat petunjuk dan dilindungi dirinya daripada melakukan apa yang bertentangan syariat.

 



Kelebihan ibadat puasa menjadikan orang berpuasa mendapat rahmat sehingga dibuka seluas-luasnya pintu langit untuk menerima segala kelebihan daripada Allah SWT. Ramadan bulan rahmat bagi sesiapa memahami peluang tersedia. Sebaliknya, bagi orang lemah imannya, tidak ada peluang untuk mereka rebut.

HADIS-HADIS BERKENAAN BULAN PUASA


Kelebihan bersahur


1)  Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya

Kelebihan menyegerakan berbuka


1)  Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa

Selamat Menjalankan Ibadah Puasa

No comments: