SEVILLE: Airbus Military akan menyerahkan pesawat pertama pengangkutan generasi baharu A400M kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti yang dijadual pada 2015, kata syarikat itu pada Khamis.
Ketua Hal Ehwal Media Airbus Military, Maggie Bergsma berkata, TUDM telah terlibat dengan program itu sejak peringkat pertama dan mengambil bahagian sepenuhnya bersama pasukan Airbus Military untuk persiapan penghantaran pesawat itu.
“Bagi semua pelanggan kami, ia adalah peralihan daripada teknologi lama kepada teknologi utama A400M.
“A400M FISS (Full In Service Support) dicipta untuk memberikan pelanggan kami semua perkhidmatan yang diperlukan untuk operasi pesawat dan kami kini sedang berbincang dengan Malaysia mengenai perkara itu bagi memastikan semuanya telah siap untuk dihantar mengikut jadual,” katanya.
Tentera Udara Perancis merupakan yang pertama menerima A400M, pesawat pelbagai guna pertama di dunia yang dicipta khusus untuk memenuhi keperluan moden angkatan tentera, pada majlis di Airbus Military Delivery Centre, di sini Isnin.
TUDM menempah empat pesawat A400M. Pesawat itu mampu melaksanakan misi yang sebelum ini memerlukan penggunaan dua atau lebih pesawat daripada jenis berbeza dan ia memenuhi pelbagai keperluan tentera udara dan organisasi lain pada abad ini.
“Kepelbagaian A400M membolehkan hanya sebuah pesawat melakukan tugas yang sebelum ini memerlukan sehingga tiga pesawat untuk melaksanakannya.
“A400M mampu menggandakan kapasiti barang yang dibawa, malah menjimatkan masa perjalanan untuk melakukan misi kemanusiaan dan ketenteraan,” katanya ketika ditanya bagaimana pesawat ini akan melengkapkan armada TUDM sedia ada.
Diperkasakan oleh empat enjin turbo-prop 11,000shp TP400, pesawat A400M mampu membawa 116 anggota payung terjun dengan kelengkapan penuh atau 37 tan muatan, dan boleh digunakan sebagai pesawat untuk mengisi minyak udara ke udara bagi jet, pesawat besar dan helikopter. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment