1. Syarrut Ta‘am (Banyak Makan)
Iaitu
terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau
minum. Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang
itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan
kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah. Makan dan minum
yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada
kelalaian daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan
membazir.
.
2. Syarrul Kalam (Banyak Berkata-kata)
Iaitu
banyak berkata-kata atau banyak bercakap. Banyak berkata-kata itu boleh
membawa kepada banyak kesalahan, dan banyak kesalahan itu membawa
kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah
merasa jemu.
.
3. Ghadhab (Pemarah)
Ia
bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan
atau menegah daripada kejahatan. Sifat pemarah adalah senjata bagi
menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak
mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan
tidak dengan sesuatu sebab yang benar.
.
4. Hasad (Dengki)
Iaitu
menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau
berpindah kepadanya. Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat
orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain
menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang
yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah SWT kerana
mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain. Orang yang berperangai
seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada
orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa
kepada bencana dan kerosakan.
.
5. Bakhil (Kedekut)
Iaitu
menahan hartanya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang
dituntut oleh agama. Nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada
seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga
membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah SWT
menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana
yang dikehendaki oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara
yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi
nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah
suatu kesalahan besar di sisi agama.
.
6. Hubbul Jah (Kasihkan Kemegahan)
Iaitu
kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat. Perasaan inginkan kemegahan
dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas
kerana Allah SWT. Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada
tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu
membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.
.
7. Hubbud Dunya (Cinta Dunia)
Ia
bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang
berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada
kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada
perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi
kebajikan di akhirat. Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah
mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai
hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah. Namun
begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah
bukanlah suatu kesalahan.
.
8. Takabbur (Sombong)
Iaitu
membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak. Orang yang
takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya
daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah
pangkat. Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada
kebencian Allah SWT dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada
keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.
.
9. ‘Ujub (Bangga Diri)
Iaitu
merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna. Orang yang bersifat
‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia
adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya,
kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak
berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan. Dengan itu, maka
timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa
bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.
.
10. Riya’ (Menunjuk-nunjuk)
Iaitu
memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain. Setiap
amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah
keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal iaitu untuk mencapai
keredhaan Allah SWT semata-mata. Orang yang riya’ adalah sia-sia segala
amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian
daripada manusia.
.
.
No comments:
Post a Comment