17 November 2013

Kesilapan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak


 

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hambaNYA. Firman ALLAH s.w.t. : 

"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar." (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64 : 15)

Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : 
"Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia." (Maksud Al-Hadith )

Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak. 

Kesilapan pertama : Kurang berdoa 

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah 
  • Saidul (penghulu) Istighfar 
  • Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9) 
  • Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 38) 
  • Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41) 



1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah 
  • Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 : 128) 
  • Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 : 74) 
  • Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya. 



Kesilapan kedua : Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti : 
  • menakutkan anak-anak dengan sekolah 
  • menakutkan dengan tempat gelap 
  • menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau 
  • menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur 



Kesilapan ketiga : Tidak tegas dalam mendidik anak-anak 
  • tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak 
  • terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka. 



Kesilapan keempat : Menegur anak secara negatif 
  • mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). 
  • membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain. 



Kesilapan kelima : Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). 
  • ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani 



Kesilapan keenam : Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : 
Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’ : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi." 
(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


Kesilapan ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas 
  • ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak. 



Kesilapan kelapan : Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh. 


Kesilapan kesembilan : Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi. 


Kesilapan kesepuluh : Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, dibolehkan merotan anak dengan tujuan mendidik  dan ada syarat serta cara-caranya agar tidak mencederakan.


Kesilapan kesebelas : Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam. 


Kesilapan keduabelas : Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya. 


Kesilapan ketigabelas : Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar. 


Kesilapan keempatbelas : Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak. 


Kesilapan kelimabelas : Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam. 

=================================  
Sumber: Kuliah Mingguan Surau An-Nur , 15 Safar 1419 bersamaan 10 Jun 1998 
                Oleh Ustaz Khalid bin Haji Mohd Isa

Desak Mansuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah ( PBS )

KANGAR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang didapati amat membebankan 400,000 guru di negara ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Hashim berkata, prestasi guru turut dinilai melalui PBS, dan sistem akses yang sering terganggu menyebabkan kebanyakan guru tidak cukup tidur kerana ingin memasukkan data bagi memastikan mereka diberi penilaian sempurna.

Justeru, beliau berkata, mesyuarat Exco KPPK baru-baru ini memutuskan untuk menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan sistem itu, yang diperkenal pada 2011.

"Sepatutnya PBS dilaksanakan di beberapa buah sekolah sebagai perintis untuk menilai keberkesanannya, dan bukan terus dilaksanakan di seluruh negara," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Presiden KPPK Tey Meng Seng dan Setiausaha Agung KPPK Lok Yim Pheng.

Beliau turut menyifatkan PBS sebagai sebuah kereta baharu yang kelihatan cantik namun pemandunya tidak boleh menggerakkan kenderaan itu kerana ketiadaan tayar.
Hashim berkata, KPPK juga menolak pelaksanaan E-Prestasi, yang sepatutnya dilaksana pada 2015 namun dipercepat ke tahun ini, bagi menilai prestasi guru kerana masih ramai yang kabur tentangnya.

E-Prestasi menimbulkan rungutan bukan sahaja dalam kalangan guru malah pengetua dan guru besar kerana mereka sering dipersalah jika sistem itu gagal menghantar laporan kepada kementerian.

"Sebaiknya sebelum melaksanakan apa jua sistem, keberkesanannya perlu diuji dan bukan menyalahkan guru apabila terdapat kegagalan," katanya.

Beliau juga berkata, KPPK bimbang pelaksanaan sistem yang menyukarkan akan menyebabkan guru tertekan sehingga memberi kesan negatif terhadap tugasan dan pelajar mereka. - Bernama

Kes Culik Di Semporna - Tiada Permintaan Wang Tebusan Setakat Ini

kawal
SEMPORNA: Tiada permintaan wang tebusan dibuat setakat ini selepas wanita Taiwan Chang An Wei, 58 diculik, dipercayai oleh kumpulan lelaki bersenjata Filipina dan dibawa ke selatan Filipina.

“Kami tidak menerima sebarang panggilan sehingga sekarang. Kami masih meneruskan siasatan,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pada pagi Ahad.

Walaupun ke mana wanita itu sebenarnya dibawa masih belum ditentukan, polis percaya lelaki bersenjata yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf boleh membawanya ke salah sebuah daripada rantaian pulau Tawi- Tawi, kawasan yang dikenali sebagai tempat persembunyian untuk kumpulan penculik yang menculik untuk tebusan.

Chang telah diculik dari resort di Pulau Pom POm selepas suaminya, Hsu Li Min, 57, ditembak mati awal Jumaat.
Menurut sumber polis di sini dan di Tawi- Tawi, tebusan yang dibawa dari Sabah biasanya disimpan di tempat persembunyian di hutan di pulau-pulau di sana sebelum mereka berpindah ke kubu kuat Abu Sayyaf di pulau Jolo.
Permintaan untuk wang tebusan akan datang apabila mereka merasakan mangsa tebusan adalah selamat, kata mereka.

Mereka menambah bahawa penculik itu sendiri mungkin tidak secara langsung mempunyai kaitan dengan terkenal kumpulan pengganas terkenal Abu Sayyaf tetapi merupakan puak serpihan yang menjalankan kegiatan menculik untuk tebusan.

Sumber-sumber berkata kumpulan lelaki bersenjata yang sama yang terlibat dalam penculikan di Sabah sebelumnya merupakan suspek utama dalam kes di Pulau POm Pom.
“Kita hanya akan tahu identiti sebenar lelaki bersenjata atau kumpulan yang terlibat apabila rundingan bagi pembebasan Chang bermula melalui orang tengah,” kata sumber yang terlibat dalam kes penculikan sebelumnya.
Sementara itu, kehidupan di bandar Semporna berjalan seperti biasa dan pelancong termasuk dari Taiwan terus melawat pulau-pulau di sana termasuklah Pulau Pom Pom.

Seorang nelayan yang memperkenalkan dirinya sebagai Pitsu berkata mereka tahu tentang kejadian tembakan dan penculikan tetapi tidak berfikir ia adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan.

“Seseorang meninggal dunia dan seorang wanita hilang, tetapi perkara-perkara seperti ini bukanlah berita kepada kami, kami mendengar tentang perkara ini sepanjang masa,” katanya.

kredit:SGB

Wajah Terkini - Suspek Bunuh Pegawai Ambank



Petaling Jaya: Suspek utama kes menembak mati pegawai AmBank Norazita Abu Talib muncul di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, semalam, dengan wajah selamba selain penampilan tidak bermaya.

Dia yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa ke mahkamah untuk disambung reman sebelum Majistret Surya Wati Shawal mengeluarkan perintah sambung reman selama tujuh hari sehingga 23 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 



LAODE Ardina ketika dibawa ke mahkamah.

Ketika wajahnya mahu dirakam jurugambar media, suspek hanya melontar pandangan kosong dan sedikit pun tidak memberi reaksi menolak gambarnya dirakam seperti kelaziman dilakukan suspek kes jenayah lain. 

Lelaki menggunakan MyKad palsu dengan nama Ardi Hamza itu ditahan di jeti Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor dipercayai untuk meloloskan diri ke Batam pada 10 November lalu, selepas 19 hari bersembunyi di rumah dan bangunan kosong sekitar negeri itu.

Polis juga mengesahkan identiti sebenar suspek itu sebagai Laode Ardina Laode Rasila, 35, berasal dari Sulawesi, Indonesia.
 
kredit:beliabangkit

Kes MPV dilarikan di Maran, wujud unsur cuai anggota - KPN





PULAU PINANG 16 Nov. - Siasatan awal mendapati wujud unsur kecuaian polis berhubung kejadian seorang lelaki melarikan kenderaan peronda polis (MPV) sebelum terbabit dalam nahas jalan raya di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Maran, Pahang, Khamis lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sehubungan itu tindakan akan diambil kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan siasatan akan dilakukan secara telus dan menyeluruh tanpa melindungi kesalahan yang dilakukan anggota polis.

"Pada masa ini, kita tidak mahu sebarang andaian dibuat sehingga siasatan selesai dan perkara sebenar kejadian itu akan diumumkan nanti.

"Prosedur meninggalkan MPV sememangnya ada dan jelas dalam kejadian ini wujudnya kecuaian di pihak anggota terlibat dan tindakan semestinya diambil," katanya selepas merasmikan Program Bersama Rakyat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang 2013 di pusat beli-belah Queensbay Mall, di sini hari ini.

Program kerjasama antara MCPF dan polis kontinjen negeri itu merupakan kali ketiga dianjurkan tahun ini dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap jenayah selain peranan masyarakat apabila berhadapan dengan jenayah.

Dalam kejadian itu, Muhd. Nasrulfahmi Abdul Nasir, 22, bertindak menyerang dan merampas sepucuk pistol anggota polis peronda lebuh raya sebelum melarikan MPV pasukan tersebut.

Lelaki itu yang memecut kenderaan berkenaan kemudian meninggal dunia selepas MPV dipandunya terbabas dan melanggar tiang sebuah perhentian bas.

Mengenai laporan bedah siasat yang menunjukkan kematian lelaki itu berpunca akibat kesan tembakan, Khalid berkata, pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan dari semua sudut.

"Melalui siasatan awal menunjukkan dia sendiri yang melepaskan tembakan, namun kita akan pastikan situasi sebenarnya dan saya sendiri akan ke Pahang untuk berjumpa anggota terlibat," tegasnya. - Uo

Foto: Khalid Abu Bakar memerhatikan pasukan Op Cantas Khas Wanita semasa menghadiri Program Bersama Rakyat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang 2013 di pusat beli-belah Queensbay Mall, Georgetown, semalam. - BERNAMA

Suka · · Kongsi