08 March 2013

Aktiviti Masyarakat Felda Semakin Pulih




08/03/2013 12:01pm

LAHAD DATU — Rutin harian masyarakat di sekitar Felda Sahabat kembali rancak hari ini susulan pengumuman penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Tinjauan pagi ini mendapati restoran dan kedai makan dibuka sejak awal pagi dan kelihatan ramai penduduk mula keluar ke kawasan pekan di Felda Sahabat ini untuk menjalankan urusan harian mereka.
Keadaan di kawasan itu juga tenang dan terkawal.
Dalam pada itu, bunyi enjin pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia kedengaran seawal pukul 7 pagi tadi, namun tiada bunyi letupan atau pertempuran didengari.
Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu berkenaan bertujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri itu.
Op Daulat yang masuk hari keempat hari ini menyaksikan 1,959 penduduk dari tujuh buah kampung telah berpindah ke pusat-pusat penempatan sementara iaitu 1,309 ditempatkan di Dewan Fajar Harapan dan 650 di Dewan Embara Budi.
Setakat ini 52 militan disahkan terbunuh sejak insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, 12 Februari lalu.
Insiden itu turut mengorbankan lapan anggota polis iaitu dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serangan hendap di Semporna pada 2 Mac.—BERNAMA

08/03/2013 3:52am

KUALA LUMPUR — Suasana ketenteraman awam di sekitar pekan Lahad Datu dan Semporna semakin pulih semalam dengan trafik mulai sibuk dan premis perniagaan beroperasi seperti biasa.
Sekatan polis dan rondaan pasukan keselamatan di kedua-dua kawasan ini bagaimanapun masih diteruskan dan orang ramai sudah mula yakin dengan keadaan yang semakin terkawal.
Di Lahad Datu, walaupun premis perniagaan ditutup awal pada 7 petang, namun pengusaha kedai makan terus membuka perniagaan mereka sehingga ke tengah malam.
Tiga buah sekolah di daerah Lahad Datu yang ditutup sejak 1 Mac turut dibuka semua semalam selepas polis mengesahkan keadaan di daerah ini selamat dan terkawal.
Lapan sekolah lain bagaimanapun masih ditutup dan sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Lok Buani, SK Fajar Harapan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Sahabat 4, SK Cenderawasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.
Bagaimanapun penduduk di Kampung Tanduo, Tanjung Labian, Tanjung Batu, Tanagian dan Sungai Bilis masih belum dibenarkan pulang dan masih ”berkampung” di Dewan Embara Budi dan Dewan Fajar Harapan, Lahad Datu.
Sambil mengharapkan pasukan keselamatan dapat menghapuskan saki-baki kumpulan itu dalam masa terdekat, Ketua Masyarakat Kampung Tanjung Labian Assaffal Alian, 48, berkata ada penduduk masih trauma dengan kejadian pencerobohan itu.
Namun kawalan yang ketat 24 jam yang dilaksanakan polis, tentera serta JPAM (Jabatan Pertahanan Awam) sedikit sebanyak meredakan ketakutan yang dialami mereka. — BERNAMA



No comments: