26 April 2013

Baling - Pondok Agama Musnah Dalam Kebakaran




BALING - Sebanyak 15 buah pondok agama yang dikenali sebagai Pondok Ustaz Bakar di Kampung Parit Panjang dekat sini musnah dalam kebakaran pada malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu berlaku ketika semua penghuni sedang mengikuti program mingguan bacaan Yassin di sebuah madrasah berdekatan.
Guru agama pusat pengajian itu, Mohamad Fadhil Abd Hamid, 38, berkata, api marak dengan cepat berikutan sebahagian besar pondok yang dihuni pelajar lelaki terletak berdekatan selain bahagian bumbung menggunakan atap rumbia.
"Semua barangan milik pelajar tidak dapat diselamatkan dan buat masa sekarang, mereka tinggal di madrasah buat sementara waktu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.
Menurutnya, banyak kitab-kitab lama milik pelajar juga hangus kerana tidak dapat diselamatkan.
"Punca kebakaran belum dapat dipastikan dan semasa anggota bomba dan penyelamat dari Baling dan Sik tiba di tempat kejadian, sebahagian besar dari pondok lama ini hampir habis terbakar," katanya. - KOSMO!



No comments: