14 July 2013

Mangsa Mercun Bola

Muhammad Thaqif Azmi menjenguk rakannya Sae-ed Alway di wad Rawatan Mata Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam. 
 
KUALA TERENGGANU 13 Julai - Dua kanak-kanak melecur teruk di muka dan badan manakala seorang lagi cedera ringan selepas bermain mercun bola di depan rumah mereka di Jalan Kamaruddin dekat Batu Buruk di sini semalam.
Ini merupakan kejadian pertama membabitkan kes mangsa mercun sejak empat hari umat Islam di negeri ini menjalankan ibadat puasa Ramadan.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang, tiga bersahabat itu, Muhammad Arfan Ammar Zainuddin, 14, Sae-ed Alway, 13, dan Muhammad Thaqif Azmi, 12, mengalami kecederaan.
Difahamkan, ketika kejadian Muhammad Arfan yang berada paling hampir dengan mercun yang dipasang itu mengalami kecederaan paling teruk apabila sebahagian muka termasuk matanya cedera.
Ketika kejadian ketiga-tiga mereka dikatakan membakar tiga biji mercun bola yang diletakkan dalam tin. Bagaimanapun mercun itu meletup sebelum mereka sempat melarikan diri.
Ketiga-tiga mangsa kini stabil dengan Muhammad Arfan ditempatkan di wad Unit Kebakaran manakala Sae-ed di wad Rawatan Mata dan Muhammad Thaqif dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kes itu.
Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia ke hospital tengah hari tadi mendapati Muhammad Arfan masih terlantar di katil manakala dua lagi rakannya kelihatan bertambah baik bagaimanapun tiada maklumat terperinci diperoleh berkaitan ketiga-tiga mangsa berkenaan memandangkan ahli keluarga tidak mahu ditemu bual.
Pada 10 Julai lalu, dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Baling menjadi mangsa pertama mercun buatan sendiri di Kedah dalam satu kejadian kira-kira pukul 10.30 malam.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: