Pernahkah
soalan ini ditanya kepada diri ataupun terfikir; Adakah kita lebih
menyayangi Allah atau Allah yang lebih menyayangi kita? Jika kita
menyayangi Allah, adakah kita menuruti segala perintah dan larangan-Nya?
Tetapi jika kita melanggar perintah-Nya, pernahkah ditarik kembali
semua nikmat yang diberikan oleh-Nya?
Pernahkah
pula kita terfikir bahawa orang-orang yang menyekutukan Allah; namun
dalam masa yang sama nikmat Allah tetap tercurah kepada seluruh
makhluk-Nya tanpa mengira apa agama dan jenisnya (manusia, jin,
binatang, tumbuh-tumbuhan, angin, planet-planet dan pelbagai lagi;
termasuk makhluk yang tidak kita ketahui).
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Setelah
selesai menciptakan makhluk-Nya, Allah menulis dalam kitab-Nya
mewajibkan atas Diri-Nya sendiri : ‘Sesungguhnya kasih sayang-Ku
mengalahkan (mengatasi) kemurkaan-Ku’”. [2751/16] Sahih Muslim
Inilah
antara tanda bahawa Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang serta
bukti bahawa Allah lebih menyayangi makhluk-Nya berbanding kasih sayang
makhluk-Nya (manusia terutamanya) terhadap Rabb penciptanya.
Di dalam Al-Quran, seperti yang telah kita ketahui setiap surah pada permulaannya telah diletakkan nama dan sifat Allah (kecuali At-Taubah) iaitu, ‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Jika
kita memperhatikannya, seolah-olah Allah Subhana wa Ta’ala mahu
makhluknya memahami bahawa cara yang pertama sekali mengenal Rabb mereka
adalah dengan pemahaman bahawa kemurahan dan kasih sayang Allah itu mengatasi segalanya. Perkataan Maha Pemurah dan Maha Penyayang ini juga telah diulang lebih seratus kali.
Di dalam sebuah hadis yang menyatakan kasih sayang Allah;
Dari Salman al-Farisi r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya
Allah memiliki 100 kasih sayang, ada satu kasih sayang (telah
diberikan) agar semua makhluk menyayangi di antara mereka, 99 kasih
sayang lainnya untuk Hari Kiamat.” [2753] Sahih Muslim
Kasih Sayang Allah Melimpah-ruah
Jika
dilihat perkataan Maha Penyayang pula, lebih dua ratus kali tercatat di
dalam Al-Quran. Kasih sayang itu meliputi kurniaan nikmatnya yang tidak
mungkin dapat diberikan oleh manusia mahupun jin; mahupun berkumpul jin
dan manusia dan bersatu untuk memberikan nikmat itu kepada sesama
mereka.
Antaranya,
ia meliputi nikmat siang dan malam (perjalanan bintang yang teratur),
tidur, nyawa, nafas, pengaturan automatik sistem tubuh, benih-benih yang
menjadi makanan (tumbuh-tumbuhan dan haiwan) dan terlalu banyak lagi
nikmat Allah itu yang jika kita ingin menyebutnya, sampai habis hayat
masih belum habis lagi pengungkapannya.
Firman-Nya;
Terjemahan : Surah An-Nahl [16] : 18
18. Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungkan jumlahnya (kerana terlalu banyak). Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Maksudnya,
manusia itu sangat-sangat lemah. Seandainya Allah memerintahkan semua
manusia bersyukur atas segala nikmat-Nya satu persatu, maka tiada satu
pun manusia yang mampu menyenaraikannya.
Oleh
kerana itulah di akhir ayat tersebut diletakkan Allah itu Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang yang membawa maksud, jika sebelum ini
makhluk-Nya melanggar perintah dan larangan-Nya, maka bertaubatlah dan
pasti akan diampuni. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)
Di dalam sebuah hadis, bersabda Rasulullah saw;
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Seandainya seorang mukmin tahu siksa yang ada di sisi Allah, maka tidak ada seorang pun yang tidak menginginkan syurga-Nya (takut berbuat dosa); Dan seandainya ada orang kafir yang tahu kasih sayang Allah, maka tidak akan ada yang merasa putus asa dari (mendapatkan) syurga Allah.” [3379] Sahih. Riwayat Muslim [At-Targhib]
Mengagungkan Allah
Terjemahan : Surah Al-Israa' [17] : 111
111.
Dan katakanlah: "Segala puji bagi Allah Yang tidak mempunyai anak dan
tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan Dia bukan pula hina yang
memerlukan penolong dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.
Sekiranya
kita benar-benar menyayangi Allah, maka hendaklah kita mengagungkan
Allah dengan pengagungan yang semestinya. Maksudnya, jika kita
benar-benar orang yang beriman maka hendaklah kita meletakkan perintah
dan larangan Allah (Al-Quran dan Al-Sunnah) di tempat teratas baik dari
segi pemikiran mahupun hati.
Janganlah
biarkan diri kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang
menyekutukan Allah, di mana mereka meletakkan Al-Quran dan Al-Sunnah
sebagai ‘perkara’ yang remeh, diubah-ubah tulisan serta maknanya,
mengatakan Al-Quran dan Al-Sunnah itu tidak membawa kemajuan,
mencetuskan perbalahan dan seumpamanya. Moga Allah melindungi kita dari
bersama mereka.
Terjemahan : Surah Az-Zumar [39] : 67
67. Dan mereka (orang-orang musyrik) tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya....... .
Pada
hari kiamat nanti mereka (orang yang memperlekeh Al-Quran dan Sunnah)
akan berada dalam keadaan benar-benar dalam penyesalan. Tetapi
penyesalan itu tidak bermakna lagi kerana masing-masing sudah diberi
masa yang mencukupi, masing-masing telah diberikan penjelasan yang jelas
dan yang paling utama, agama ini (Islam) telah sempurna disampaikan
oleh Nabi Muhammad saw.
Persoalannya
hanyalah; Mahukah kita mengikuti jalan yang lurus atau mengikuti jalan
yang bersimpang-siur? Semua orang akan masuk ke syurga dan ini janji
Allah dan Rasul-Nya (saw) KECUALI mereka yang tidak mahu, dan orang yang
tidak mahu ke syurga adalah orang yang mempermain dan memperlekehkan
Al-Quran dan Al-Sunnah serta bertuhankan hawa nafsu.
Bertaubatlah Sebelum Terlambat
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang bertaubat kepada Allah Ta’ala sebelum matahari terbit dari barat, (maka) Allah menerima taubatnya.” [2323] Sahih Muslim
Setiap
anak Adam pasti melakukan kesalahan dan tidak ada satu manusia pun pada
zaman ini tidak melakukan dosa samada kecil atau besar. Tetapi sesuatu
yang wajib kita ketahui, bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang dan akan mengampuni siapa sahaja yang bertaubat kepada-Nya
kecuali saat matahari terbit dari barat dan saat nyawa sedang dicabut
(Rujuk : An-Nisa’ [4] : 18]).
Janganlah
berputus asa terhadap rahmat Allah kerana putus asa itu sifat orang
kafir. Bertaubatlah terhadap kesalahan yang lalu dan jadikanlah masa
akan datang ini masa yang bermanfaat dan masa memperbaiki kesilapan
lalu. Mulakanlah hidup baru yang menjamin cahaya kehidupan yang abadi di
syurga - InsyaAllah.
Ingatlah antara pesan terakhir Rasulullah saw sebelum kewafatannya;
Dari Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a, katanya tiga hari sebelum Rasulullah saw wafat : Rasulullah saw bersabda, “Janganlah kamu mati melainkan baik sangka terhadap Allah Azza wa Jalla.” [2451] Sahih Muslim
Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada makhluk-Nya.
koleksi Hadis Pilihan
No comments:
Post a Comment