02 March 2013

Keindahan Semula Jadi


IDEA binaan landskap membabitkan cita rasa pemilik dan kesesuaian konsep taman yang cuba diketengahkan.
Seboleh-bolehnya pemilik ingin persekitaran yang lebih dekat dengan alam dan fungsinya dimanfaatkan seisi keluarga.
Kesinambungan landskap juga membuatkan sebuah kediaman Semi-D di Setapak Ria, Setapak, Kuala Lumpur mencuri perhatian.

Pemiliknya, Shahrina Sahabuddin, 32, berpuas hati dengan penataan itu kerana hanya membabitkan bajet sederhana tetapi impaknya cukup membanggakan.

“Keindahan sebenar dan semula jadi masih dapat diserlahkan apabila kepekaan dan kreativiti digabungkan bersama.

“Malah, landskap yang menggunakan kepakaran, Melati Evergreen Enterprise membuatkan kami teruja,” kata anak kelahiran Selayang, Selangor itu.

Kombinasi idea diketengahkan sepenuhnya apabila dia dV an keluarganya lebih meminati reka bentuk landskap yang ringkas, praktikal dan kelihatan semula jadi.

Dalam tempoh tiga bulan, impian ibu muda ini untuk bersantai dalam suasana hijau terlaksana.

Segala keistimewaan itu bermula dengan pintu pagar yang dibalut dengan kayu resak memberikan pemandangan eksklusif keseluruhan kediaman.

“Susunan landskap lembut dan kejur menjadi elemen utama bagi menyambut kunjungan sesiapa saja,” katanya.

Binaan landskap dalam benar-benar menarik perhatian apabila suasana unik itu diserikan dengan pancuran air dari dinding bersebelahan pagar.

Kerusi santai yang diletakkan pula menjadi ruang santai menarik dalam suasana redup menyamankan.

Sebaik daun pintu kecil yang menghubungkan landskap luar dan dalam dibuka, satu lagi panorama semula jadi dikongsikan.

Reka bentuk pintu itu yang mengilhamkan gaya tradisional apabila ia tampak bagaikan pintu gerbang lama berasaskan kayu cengal.

Pagar bersebelahannya pula berasaskan kayu landasan kereta api yang disusun secara menegak.

Persekitaran bukan sekadar dihiasi dengan pelbagai pepohon hijau seperti kelompang air, pokok jasmine dan muraya malah perancangan dari segi reka letak elemen hiasan lain tidak kurang hebatnya.

Pada masa sama, pokok yang tahan lasak turut dijadikan pelengkap binaan landskap unik itu.

“Wakaf atau gazebo ini pula sering kami dimanfaatkan sebagai tempat bersantai paling digemari tidak kira siang atau malam,” katanya.

Simenfero kayu balak bersebelahannya berfungsi sebagai titik fokal taman kerana tampil dengan kelainan tersendiri.

Bagi peminat seni taman dan landskap, simenfero bukan satu perkara baru kerana ia menggunakan bancuhan simen. 

Malah, simenfero kayu balak antara yang dilihat berupaya mencipta kelainan di taman tanpa perlu menempatkan material sebenar atau asli. 

Rimbunan pepohon hijau seperti buluh pula lebih menyuntik visual semula jadi apabila landskap kejur itu berada berhampirannya. 

“Angin sepoi-sepoi bahasa yang menyapa ketika petang nyata menyuntik ketenangan semula jadi sebaik bersantai di taman itu,” katanya.

Laluan sekitar taman luar pula diindahkan dengan penggunaan kayu landasan kereta api yang turut diimbangi dengan hamparan rumput mutiara.

“Saya dan keluarga memang suka gaya taman seperti ini dan aktiviti masa lapang lebih bermakna apabila anak-anak bermain di depan mata.

“Lebih membanggakan kerana kami berpeluang meraikan sanak-saudara dan tetamu dalam suasana santai,” kata kakitangan swasta itu.

Hubungi melati_evergreen@ yahoo.com atau Facebook Mohd Khaizam Kamisan untuk maklumat lanjut mengenai gaya landskap.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keindahansemulajadi/Article#sthash.HAObQg9N.dpuf
pix_topright

No comments: