29 March 2013

Kami Tak Tagih Simpati - VAT69



VAT 69 tak tagih  simpati Ahli keluarga menyambut ketibaan pasukan VAT 69 dari Lahad Datu ketika majlis meraikan kepulangan wira berkenaan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh, malam kelmarin. - Foto Farhan Najib
Ipoh: Pegawai dan anggota keselamatan yang terbabit dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah tidak menagih simpati atas pengorbanan dicurahkan, tetapi mengharapkan rakyat menghargai pengorbanan itu dengan mendoakan keamanan negara.

Perkara itu diluahkan Komander VAT 69, Datuk Azizan Abd Aziz, dalam ucapannya pada majlis meraikan wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ops Daulat peringkat negeri di Kediaman Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, pasukan itu terbabit dalam operasi sehingga ada yang terkorban dan cedera dalam pertempuran menentang pengganas.


“Kami tidak menagih simpati, begitu juga tidak menghiraukan sesiapa yang mengutuk dan mencaci kami. Pendirian kami ialah istiqamah untuk berkhidmat kepada negara dan sentiasa komited mempertahankan keamanan negara daripada sebarang anasir serta petualang negara.


Perjuangan tak sia-sia


“Semoga apa yang kami curahkan mendapat restu Allah dan diharapkan perjuangan kami tidak sia-sia,” katanya.


Ucapan beliau mendapat tepukan lebih 500 hadirin termasuk 174 pegawai dan anggota PDRM yang terbabit dalam operasi berkenaan selain pegawai tertinggi PDRM serta ahli keluarga wira negara.

Kumpulan pertama terdiri 90 anggota yang dihantar menjalani Ops Daulat di Lahad Datu tiba di sini, Jumaat lalu, manakala kumpulan kedua, 84 pegawai dan anggota tiba malam kelmarin, sebelum diraikan pada majlis itu.

Terdahulu, ketibaan mereka yang disambut Zambry dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, turut diiringi lagu keramat Inilah Barisan Kita serta laungan semangat daripada rakan setugas.


Ketibaan pasukan itu juga disambut pelukan serta ciuman ahli keluarga masing-masing selepas hampir sebulan menjalani pertempuran mengusir pengganas berkenaan.


Hadirin turut diperdengarkan sajak berjudul Mengenangmu Pejuang yang dideklamasikan Koperal Mustafa Kamal Mohd Hashim dari Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA), Markas Briged Utara Ulu Kinta, sebelum montaj mengenai Ops Daulat dipersembahkan. 


Sumber : Berita Harian 29.03.2013 

No comments: