26 March 2013

Mantan Gabenor Bank Negara Kembali Ke Rahmatullah



RC-ALI ABUL HASSAN

KUALA LUMPUR — Bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Ali
Abul Hassan Sulaiman meninggal dunia di kediamannya di Kemensah Heights di sini
hari ini akibat komplikasi jantung dan jangkitan paru-paru.
Allahyarham, 71, meninggal dunia pada 4.45 petang.
Jenazah Dr Ali Abul Hassan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Kemensah
Heights selepas solat Zohor esok.
Ketika dihubungi Bernama, menantu Allahyarham, Mohamed Faruk Rahmatullah
berkata Dr Ali Abul Hassan meninggalkan isteri, Puan Sri Jamilah Ali Abul Hassan
dan tiga anak, seorang lelaki dan dua perempuan.
Allahyarham adalah gabenor keenam Bank Negara dari tahun 1998 hingga 2000.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu memiliki ijazah Universiti Malaya dalam
bidang ekonomi dan sarjana pembangunan ekonomi dari Universiti Wisconsin,
Amerika Syarikat.
Beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada 1965 di Unit Perancangan
Ekonomi Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjadi setiausaha Bahagian Ekonomi
dan Antarabangsa di Kementerian Kewangan pada 1985. — BERNAMA

No comments: