08 October 2013

Kudat - Feri Penumpang Di Tahan




FERI penumpang Kudat yang ditahan polis Marin kerana membawa penumpang berlebihan di kawasan perairan Esplanade Sidek Kudat, Sabah, kelmarin.


KOTA KINABALU 6 Okt. - Selain bertindak membawa penumpang berlebihan, sebuah feri penumpang yang beroperasi di daerah Kudat ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Kudat kerana menumpangkan individu tanpa sebarang dokumen.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Kudat, Asisten Komisioner Mohammad Madun berkata, bertindak atas maklumat, dua buah bot polis Marin telah diarah untuk menahan feri tersebut pada pukul 9.10 pagi kelmarin di kawasan perairan Esplanade Sidek, Kudat.

Menurutnya, selain hasil pemeriksaan mendapati feri tersebut membawa lebih penumpang seramai 135 orang daripada jumlah yang didaftarkan, pasukan polis Marin turut menahan lima individu termasuk seorang kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Jelasnya, feri penumpang Express Pelican Karakit dari Pulau Banggi ke Kudat itu membawa 340 orang penumpang melebihi daripada senarai penumpang yang dikemukakan oleh nakhoda kapal iaitu seramai 205 orang.

"Feri tersebut telah ditahan atas kesalahan Kaedah Bot 1953 di bawah K 9 (1) iaitu membawa penumpang berlebihan dan diserah kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah cawangan Kudat untuk tindakan lanjut.

"Lima orang penumpang didakwa mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/1963 kerana berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah. Penumpang tanpa pengenalan diri itu telah diserah ke Jabatan Imigresen Kudat untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu Mohammad berkata, pihak pasukan polis Marin akan meningkatkan lagi pemeriksaan terhadap semua pengangkutan laut untuk mengelakkan kejadian kapal karam seperti yang pernah terjadi pada 2009 berulang.

Selain itu katanya, amaran keras dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barang kawalan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: