06 October 2013

Ops Cantas: 14,511 Anggota Kumpulan Kongsi Gelap Dan Samseng Ditahan



AYER KEROH: Sehingga semalam seramai 380,343 diperiksa dalam Ops Cantas yang mula dilaksanakan pada 17 Ogos lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu seramai 178,217 merupakan kaum Melayu, Cina (77,104); India (73,505) dan lain-lain (51,517).

“Daripada jumlah itu, polis berjaya menahan seramai 14,511 anggota kumpulan kongsi gelap dan samseng,” katanya pada sidang media sempena Majlis Taklimat Keselamatan bersama pemimpin masyarakat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, hari ini.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 133,417 individu diperiksa di Johor dan tangkapan tertinggi melibatkan Selangor (6,191), Johor (2,682), Kuala Lumpur (1,185) dan paling kecil iaitu Perlis yang hanya melibatkan 12 orang.

Bagi negeri Melaka sahaja, Ahmad Zahid berkata seramai 2,600 individu diperiksa dan mereka yang didapati terlibat dalam kes jenayah akan dibawa ke mahkamah dan beliau turut berpuas hati dengan tindakan polis Melaka dalam membanteras jenayah bagi memastikan negeri yang terkenal dengan destinasi pelancongan itu berada dalam keadaan selamat.

Menurut Ahmad Zahid, Ops Cantas berkenaan akan terus dilaksanakan dan kemungkinan akan ditukar kepada nama lain.

Tambah beliau lagi, pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 dalam memastikan pengukuhan kuasa Polis Di Raja Malaysia (PDRM) rentetan pemansuhan beberapa akta sebelum ini adalah untuk menangani kegiatan jenayah di Malaysia.

Katanya, polis sentiasa bersiap siaga memerangi jenayah dan pindaan akta berkenaan memberikan ‘taring baru’ serta memulihkan semangat pegawai dan anggota polis untuk berkhidmat menjaga keselamatan negara.

Polis turut tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli kongsi gelap yang menuntut wang perlindungan atau ugutan sehingga membawa kepada kecederaan dan membunuh.

No comments: