08 October 2013

SPA - 2 Juta Mohon Kerja




MELAKA  – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)  menerima kira-kira dua juta permohonan jawatan bagi peringkat Persekutuan dalam  tempoh sembilan bulan tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, jumlah itu mencatat sejarah  kerana merupakan tertinggi berbanding yang pernah direkodkan sebelum ini.
Menurut beliau, jumlah itu tidak termasuk permohonan di peringkat negeri  sekali gus menunjukkan jawatan kerajaan kini semakin popular dalam kalangan  pencari pekerjaan.
“Peningkatan ini bagi saya kerana pemohon mempercayai SPA dan kemudahan gaji  yang semakin baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian Persidangan  Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia ke-16 di Banda Hilir di sini  hari ini.
Majlis yang disertai sebanyak 150 peserta itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk  Idris Haron.
Menurut Mahmood, permohonan yang diterima meliputi pelbagai kaum iaitu Melayu  sebanyak 1.62 juta orang, Cina (40,892), India (69,865), bumiputera Sabah  (137,562), bumiputera Sarawak (103,410) dan lain-lain (40,877).
Katanya, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, lebih 40,000 daripada  jumlah keseluruhan 80,000 kekosongan jawatan telah diisi.
Jumlah pelantikan keseluruhan, katanya, adalah sebanyak 43,454 orang meliputi  pelantikan tetap berjumlah 29,009 orang dan pelantikan kontrak (14,445).
“Sekarang ini pun proses pengisian jawatan masih berjalan dan saya percaya  dalam tempoh tiga bulan ini jumlah itu akan bertambah meliputi pelbagai  perkhidmatan termasuk polis dan tentera,” katanya.
Tambahnya, permohonan jawatan daripada kaum Cina bertambah sekali ganda iaitu  daripada 20,000 permohonan kepada 40,000 permohonan bagi tempoh sama.
Katanya, SPA melakukan pelbagai pendekatan bagi menggalakkan permohonan  daripada pelbagai kaum untuk mengisi jawatan dalam kerajaan. – Utusan.

No comments: