10 October 2013

Ribut Di Arafah - 7 Jemaah Malaysia Cedera




MAKKAH, 10 Okt (Bernama) -- Hujan ribut di Arafah petang semalam yang
mengakibatkan beberapa buah khemah untuk jemaah Malaysia runtuh tidak
menjejaskan persiapan Tabung Haji (TH) untuk menguruskan jemaah menunaikan wukuf
empat hari lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata
khemah-khemah yang runtuh itu adalah yang belum siap dipasang dan belum diikat.
Katanya cuaca hujan dan banjir kilat menjelang musim haji adalah kes biasa
dan pengurusan TH bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Menjelang musim haji, kedua-dua masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil
Nabawi akan mengadakan solat hajat dan berdoa memohon hujan dan hujan menjelang
musim haji adalah perkara biasa berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas...
Insya-Allah kita akan gunakan pengalaman lepas untuk meningkatkan persiapan
kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau juga menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Arab Saudi
telah menghalang jemaah haji memasuki tanah suci ekoran cuaca buruk dan banjir
di Arafah.
-- LAGI
HAJI-RIBUT 2 (AKHIR) MAKKAH
Jamil Khir berkata semua jemaah haji Malaysia telahpun memasuki Makkah dan
tiada seorangpun jemaah yang datang menerusi TH menghadapi sebarang masalah.
"Ada berita yang saya dengar ialah terdapat jemaah dari syarikat atau ejen
swasta yang tidak diiktiraf dan tidak berdaftar dengan Tabung Haji kini
menghadapi masalah visa haji dan mereka tersangkut di lapangan terbang di ibu
negara," katanya.
Sementara itu, TH dalam kenyataan akhbarnya di sini berkata dakwaan kononnya
Terminal Haji di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah ditutup ekoran cuaca
buruk adalah tidak benar.
"Terminal Haji itu ditutup semalam adalah kerana tiada lagi penerbangan haji
yang akan mendarat mengikut jadual dan visa haji yang dibenarkan oleh kerajaan
Arab Saudi," menurut kenyataan itu.
Kesemua khemah yang mengalami kerosakan telah dibaiki hari ini dan cuaca
dilaporkan kembali panas hari ini sekali gus akan mengeringkan khemah-khemah
yang basah.
Jemaah haji akan memulakan ibadah haji dengan wukuf di Arafah pada 14 Okt
ini.
-- BERNAMA

No comments: