ALOR SETAR - Beberapa guru yang mengajar subjek pendidikan Islam di
sekolah menengah kerajaan di Kedah dikesan menyebar serta mengedar buku
berkaitan fahaman dan ajaran Syiah kepada pelajar mereka.
Timbalan Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah Abdullah
Din berkata kegiatan guru terbabit di beberapa sekolah di daerah Kota
Setar dan Kubang Pasu dikesan baru-baru ini.
"Perbuatan guru-guru ini boleh merosakkan akidah pelajar kerana
ajarannya bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang
dipegang oleh umat Islam negara ini," katanya kepada pemberita selepas
menganggotai panel Forum Ancaman Syiah anjuran Majlis Bandaraya Alor
Setar di sini hari ini.
Beliau berkata perkara itu dimaklum kepada Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin agar tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka.
Abdullah juga berpendapat guru Pendidikan Islam yang menganut fahaman Syiah tidak seharusnya mengajar subjek itu.
Beliau berkata walaupun tidak mempunyai bukti kukuh untuk melabel
seseorang sebagai penganut Syiah, tindakan mengedarkan buku berkaitan
fahaman itu kepada pelajar jelas membuktikan mereka adalah pengikut
Syiah.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Institusi Pondok Tahfiz dan Ilmuan
Sunni Profesor Dr Abdul Aziz Hanafi berkata pelajar boleh terkeliru
apabila guru pendidikan Islam berfahaman Syiah menyampaikan fakta
berbeza dengan silibus yang disediakan.
Beliau berkata ajaran Syiah mengagungkan Imam 12 serta mengkafirkan
sahabat Rasulullah dan ini boleh mengelirukan pelajar sekolah namun
akhirnya mereka akan percaya dengan apa yang diajar guru berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata Kementerian Dalam Negeri
(KDN) perlu mengharamkan penjualan novel 'Perempuan Nan Bercinta' yang
dipercayai mempunyai unsur Syiah dan boleh memesong akidah pembaca,
terutama pelajar sekolah. - Bernama
No comments:
Post a Comment