14 November 2013

Lelaki Larikan Kereta Polis Maut

  Gambar Hiasan

Kuantan, 14 Nov - Seorang lelaki maut selepas kereta peronda polis yang dilarikannya melanggar tiang perhentian bas di Km107 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.30 pagi tadi itu, suspek Muhd Nasrulfahmi Abdul Nasir, 22, yang mengalami kecederaan di kepala disahkan mati ketika dirawat di Hospital Temerloh jam 7.58 pagi.

Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abd Ghani, suspek yang berasal dari Jengka itu dilaporkan telah menyerang anggota polis di Tol Chenor dengan menggunakan sebatang besi.

"Suspek dipercayai telah menyerang dan memukul anggota polis terbabit di tol berkenaan sebelum merampas pistol anggota polis itu dan melepaskan empat das tembakan. Tembakan itu bagaimanapun tidak mengenai anggota polis terbabit.

"Selepas bertindak melarikan kereta polis itu, suspek telah melanggar tiang perhentian bas di Km107 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dan cedera di kepala. Suspek meninggal dunia di Hospital Temerloh pada jam 7.58 pagi," katanya.

Motif serangan dan punca kejadian masih belum diketahui. - BERNAMA


No comments: