KUALA LUMPUR:
Seramai 55 pegawai telah dikenal pasti terlibat dalam rasuah oleh
jawatankuasa khas yang dibentuk untuk menyiasat salah laku penjawat awam
setakat 28 Oktober lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim
berkata bilangan itu adalah hasil siasatan ke atas 24 kes yang
melibatkan 11 kementerian dan agensi. “Bagi kes yang disyaki ada unsur
rasuah dan penyelewengan, sebanyak 15 kertas siasatan melibatkan projek
dan perolehan di tujuh agensi telah dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah (SPRM).
“Kesemua laporan siasatan itu telah dikemukakan kepada Ketua
Setiausaha Kementerian dan kerajaan negeri yang terlibat bagi
membolehkan mereka meneliti, dan mengambil tindakan syor berkenaan,
termasuk surat tunjuk sebab yang perlu dikemukakan (kembali) kepada
jawatankuasa siasatan dalam masa 21 hari,” katanya ketika menggulung
perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 pada persidangan Dewan
Rakyat, pada Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan
jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr
Ali Hamsa semasa perbentangan Bajet 2014 bulan lepas bagi menyiasat dan
mengambil tindakan tegas terhadap salah laku penjawat awam susulan
pelbagai teguran yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 pada 1 Okt lepas,
sejumlah 319 teguran dibuat, melibatkan 81 perkhidmatan awam
persekutuan, 21 badan berkanun serta 217 negeri.
“Sebanyak 94 teguran diterima melibatkan penyelewengan,
penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian dalam melaksanakan tugas,”
katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abd
Wahid Omar berkata kurang penyertaan daripada sektor swasta adalah
antara faktor menyumbang kepada kegagalan Dasar Ekonomi Baru dalam
mencapai matlamat merapatkan jurang ekonomi rakyat pelbagai kaum di
negara ini.
Katanya sektor swasta seharusnya bekerjasama dan memainkan peranan
penting dalam memastikan matlamat Model Baru Ekonomi dan agenda
memperkasa ekonomi Bumiputera tercapai dan tidak hanya meletakkan
peranan itu di bahu kerajaan semata-mata.
“Sektor swasta kurang memainkan peranan dalam pelaksanaan DEB,
sedangkan sektor itu menyumbang 58 peratus kepada pertumbuhan ekonomi
berbanding sektor awam hanya 42 peratus. Kalau hanya kerajaan dan
syarikat milik kerajaan (GLC) menjalankan dasar ini memanglah lambat
untuk mencapai sasaran. “Sekiranya sektor swasta bersama sektor awam
bekerjasama mencapai matlamat dasar ini, ia akan lebih berkesan,”
katanya ketika menjawab pencelahan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai
Petani) pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat.
Persidangan dewan bersambung hari ini. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment