12 August 2013

Elak Jadi Mangsa Bank Palsu


 
 Kuala Lumpur, 12 Ogos - Jenayah siber seperti kes penipuan menggunakan identiti sesebuah bank melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) boleh dielakkan sekiranya masyarakat lebih berhati-hati dan peka terhadap teknologi masa kini.

Menurut Penolong Pengurus Besar Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia Joanne Wong, kes sedemikian berlaku apabila 'penipu' menghantar kiriman e-mel, SMS dan panggilan telefon untuk meminta butiran peribadi seperti butiran kad kredit, kata kunci, Kod Pengesahan Transaksi (TAC) daripada mangsa dengan menyamar sebagai pihak bank.

Beliau menegaskan bahawa pihak bank tidak akan sesekali meminta sebarang butiran perbankan peribadi melalui cara seperti itu.

Wong berkata penipuan sedemikian sukar dikenal pasti kerana e-mel atau SMS yang diterima mangsa kelihatan benar dan seolah-olah ia dihantar oleh institusi kewangan.

"E-mel yang dihantar oleh penipu itu kelihatan amat meyakinkan kerana ia mengandungi logo rasmi sesebuah syarikat dan pesanan yang dihantar menunjukkan alasan tertentu yang palsu untuk meminta kita memaklumkan butiran peribadi dan akaun," katanya kepada Bernama.

Menghuraikan caranya, Wong berkata komplot itu mungkin mendakwa bahawa akaun perbankan Internet atau kad kredit perlu dikemaskini atau telah diceroboh dan dibekukan hingga memerlukan butiran peribadi serta nombor kata laluan diberikan untuk memperbaikinya.

"E-mel atau SMS komplot penipuan tersebut biasanya akan mengubah haluan anda ke laman web penipu itu yang seterusnya meminta anda memasukkan butiran yang diminta," katanya.

Untuk mengelakkan menjadi mangsa tipu, Wong menasihatkan orang ramai supaya tidak mengakses sebarang pautan URL Internet dalam e-mel atau SMS yang didakwa dihantar oleh bank.

Beliau berkata bagi mengenal pasti sebarang pautan Internet itu benar atau palsu, alamat laman web sesebuah bank itu perlu ditaip secara manual untuk mendaftar masuk ke akaun perbangkan Internet masing-masing.

"Kita juga perlu elak mendaftar TAC dengan menggunakan nombor telefon bimbit pihak ketiga dan jangan melayan sebarang permintaan untuk mendapatkan maklumat peribadi kewangan atau keselamatan masing-masing melainkan kita telah menghubungi pihak bank terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata ketulenan laman web bank boleh diperiksa dengan memerhati ikon berbentuk ibu kunci yang terletak di petak alamat pelayar Internet dan jangan meneruskan sebarang aktiviti sekiranya tidak melihat ikon sedemikian.

"Jangan mengakses maklumat perbankan anda di kafe siber atau kawasan-kawasan wifi umum, gunakan pelayar Internet versi terkini kerana ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan pastikan perisian antivirus dan sekuriti anda sentiasa dikemaskini," katanya.

Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya yang mendakwa turut menerima kiriman e-mel sedemikian, berkata kes penipuan itu dapat dielakkan sekiranya setiap individu mengamalkan sikap berjaga-jaga dan meneliti terlebih dahulu setiap e-mel yang diterima.

"Saya juga telah menerima beberapa e-mel seperti itu baru-baru ini, tetapi saya telah abaikannya kerana tahu e-mel itu palsu dan saya harap orang ramai perlu abaikan e-mel sedemikian.

"Jangan akses sebarang pautan Internet dalam e-mel yang didakwa dihantar oleh bank dan hubungi pihak bank untuk mengenal pasti," katanya.

Saharuddin berkata isu penipuan itu dilihat semakin berleluasa apabila pihaknya menerima 300 aduan membabitkan kerugian lebih RM1 juta dengan menggunaan identiti bank tempatan, sejak Januari hingga Jun lepas.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian membabit jenayah siber di negara ini pada tahun lalu ialah RM1.6 bilion yang meningkat RM1.1 bilion berbanding pada tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, Saharuddin meminta pihak berkuasa memantau dan membanteras sindiket penipuan itu bagi mengelak ia berleluasa dan lebih ramai yang menjadi mangsa. - BERNAMA

No comments: