16 August 2013

Semua Rakyat Malaysia Di Mesir Selamat - Anifah


KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman Khamis mengesahkan semua rakyat Malaysia di Mesir berada dalam keadaan baik dan selamat walaupun situasi keselamatan semasa di negara itu merosot.

Negara itu dilanda konflik berdarah apabila tercetus pentempuran antara pihak berkuasa keselamatan dengan penyokong bekas presiden Me
sir Mohamed Morsi, menyebabkan ramai yang terkorban dan ribuan lain cedera.

Justeru, Anifah meminta rakyat Malaysia mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

"Bagi pelajar Malaysia yang mahu pulang, mereka dinasihatkan memeriksa dan mengesahkan dengan universiti masing-masing sama ada akan terdapat sebarang perubahan pada tarikh bermula tahun akademik sebelum kembali semula ke negara itu, katanya dalam kenyataan di sini.

Anifah juga berkata rakyat Malaysia juga diingatkan supaya tidak mendekati kawasan berisiko konflik dan tidak menyertai sebarang perhimpunan bantahan.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang bercadang ke Mesir dinasihatkan untuk menangguhkan dan menjadual semula semua lawatan tidak penting ke negara itu.

Katanya kerajaan Malaysia melahirkan kebimbangan yang mendalam berhubung perkembangan pergolakan semasa dan pertumpahan darah di negara itu yang sehingga ini telah mengorbankan ramai nyawa dan ribuan yanvg lain cedera.

Katanya kerajaan membantah dengan keras sebarang bentuk keganasan sebagai cara menyelesaikan sebarang konlfik dan berharap semua pihak di negara itu tidak memilih jalan keganasan sebaliknya mencapai penyelesaian secara damai.

"Adalah amat penting bahawa krisis politik semasa di negara itu perlu diselesaikan menerusi dialog yang berterusan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian yang berkesan dan berpanjangan," katanya.

Rakyat Malaysia di Mesir dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan semasa dengan menghubungi Kedutaan Malaysia di Kaherah di alamat No. 21 El Aanab Street, Mohandesseen, Giza, Mesir.

Nombor talian kedutaan ialah (202) 37610013/ 19/68/73 atau Bilik Operasi Kedutaan Malaysia di talian 00-2-02-37610270 atau 02-3760735/02-37610013 sambungan 140.

No faks (202) 37610216 atau e-mel di malcairo@kln.gov.my.

-- BERNAMA

No comments: