KUALA LUMPUR:
Ancaman pengganas Kiram terhadap negara ini masih wujud meskipun
ketuanya Jamalul Kiram III meninggal dunia pada Ahad, kata Menteri Dalam
Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Berdasarkan maklumat perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat
tujuh individu yang sedang berebut untuk mengetuai kumpulan pengganas
yang dikatakan mewarisi ‘Kesultanan Sulu’ berkenaan, katanya.
Meskipun nama ketujuh-tujuh individu itu tidak didedahkannya, namun
PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk berada
pada kedudukan bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan, katanya.
“Daripada kematian Jamalul, kita tidak boleh menganggap pencerobohan
pengganas Kiram akan tamat, tambahan terdapat tujuh individu yang
merasakan mereka berkelayakan mengambil alih ‘Kesultanan Sulu’ ini.
“PDRM dan ATM akan memantau dengan dekat kerana apa yang berlaku pada
Jamalul Kiram bukan tindakan peribadi beliau semata-mata tetapi yang
kita khuatiri ada ‘tangan ghaib’ yang ada di belakangnya menyebabkan
kumpulan pengganas berkenaan memasuki negara kita melalui Lahad Datu,
Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini,
Isnin.
Pada Ahad media melaporkan, Jamalul Kiram meninggal dunia di sebuah hospital di Manila, Filipina, kerana masalah organ.
Ahmad Zahid berkata pihak keselamatan negara tidak boleh terlalu
selesa memikirkan selepas kematian Jamalul tidak akan berlaku sebarang
tindakan oleh mereka yang akan mengambil alih tempatnya.
Februari lalu, pasukan keselamatan Malaysia melancarkan ‘Operasi
Daulat’ untuk menghapuskan pengganas berkenaan selepas rundingan selama
sebulan untuk menggesa mereka berundur gagal.
Dalam operasi itu, 10 anggota keselamatan negara maut manakala 68
anggota pengganas ditembak mati, 173 ditahan dan beberapa lagi pengganas
Kiram melarikan diri.
Dalam perkembangan lain Ahmad Zahid berkata keputusan yang dibuat
Mahkamah Rayuan berkaitan penggunaan kalimah Allah hanya tertakluk
kepada penerbitan akhbar mingguan Katolik ‘The Herald’ sahaja.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya membuat keputusan bahawa ‘The Herald’,
dilarang daripada menggunakan kalimah Allah pada 14 Oktober lepas
apabila membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah
Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah
‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment