PALO
ALTO, California - Khabar angin dalam kalangan pengguna Internet
mengenai penutupan laman sosial popular Facebook kini tersebar luas
terutamanya menerusi laman sosial Twitter, lapor sebuah akhbar semalam.
Antara mesej yang disampaikan oleh pengguna Twitter adalah seperti: "Facebook bakal ditutup pada Mac 2011? Saya harap tidak."
"Khabar angin adalah
Facebook akan ditutup. Tolong jangan beralih kepada Twitter dan jangan
rosakkan pengalaman jaringan sosial saya," kata @jjelksboss melalui
Twitternya.
Terdapat juga kumpulan yang dibentuk di laman Facebook
yang meminta agar laman sosial itu tidak ditutup dengan mesej: "Facebook
akan ditutup pada 15 Mac 2014. Adakah terdapat cara lain untuk
menghalangnya?"
Pada bulan lepas Yahoo telah mengumumkan bahawa
Yahoo Video akan ditutup pada tarikh sama tetapi ia tidak bermaksud
semua jaringan di Internet akan turut terhenti.
Dalam perkembangan
sama akhbar Weekly World News melaporkan bahawa pengasas laman sosial
itu, Mark Zuckerberg, 27, sedang menghadapi tekanan untuk terus
menguruskan laman sosial tersebut.
"Facebook sudah di luar kawalan
saya dan tekanan menguruskan syarikat ini telah mengganggu hidup saya.
Saya perlu hentikannya untuk mengelakkan tekanan ini," jelas Zuckerberg
dalam satu sidang media di luar pejabatnya di Palo Alto baru-baru ini.
Dalam satu temu ramah menerusi telefon Zuckerberg memberitahu: "Saya
secara peribadi tidak menganggap ia sebuah keputusan besar. Secara
jujurnya saya fikir ia (menutup laman Facebook) adalah untuk kebaikan.
Tanpa Facebook orang ramai akan keluar dan berjumpa dengan rakan-rakan,
itu adalah lebih baik."
MARK ZUCKERBERG
"Saya tidak kisah mengenai wang. Saya hanya mahu kehidupan saya balik," kata Zuckerberg.
Akhbar itu melaporkan Naib Presiden Perhubungan Teknikal Facebook,
Avrat Humarthi menjelaskan bahawa bermula 15 Mac ini pengguna tidak lagi
akan dapat memasuki akaun Facebook dan meminta pengguna melakukan
sesuatu agar semua gambar-gambar kesayangan tidak hilang.
"Seluruh
laman web ini akan ditutup pada tarikh itu. Justeru, jika anda tidak
mahu gambar-gambar di Facebook hilang, saya nasihatkan agar anda
menyimpannya sebelum laman itu ditutup," jelas Humarthi.
Bagaimanapun, akhbar International Business Times melaporkan bahawa
khabar angin itu hanya disebarkan melalui laman-laman blog dan tiada
laporan daripada mana-mana akhbar arus perdana berhubung penutupan
tersebut.
Menurut Lou Kerner dari firma Wedbush Securities, Facebook
mempunyai lebih 600 juta pengguna di seluruh dunia dengan 300 pemegang
saham. - Agensi
kredit: anonymousmalaysia
No comments:
Post a Comment