23 October 2013
Peritnya Tinggal Di Penjara
SEREMBAN - Suasana sayu menyelubungi dataran penerimaan Penjara Seremban, di sini, semalam apabila 10 banduan terpilih ditemukan dengan keluarga masing-masing.
Setelah terpisah jauh dari keluarga tercinta, pertemuan diatur menerusi Program Jalinan Kasih Sempena Hari Raya Aidiladha itu ternyata menimbulkan seribu satu keinsafan kepada mereka selepas lama menghabiskan hidup di sebalik tirai besi.
Malah, peluang jarang-jarang diperolehi ini merupakan sesuatu yang cukup bermakna buat kesemua banduan berkenaan apabila diberi ruang selama satu jam untuk meluangkan masa bersama keluarga, ketika masih menjalani hukuman penjara.
Salah seorang banduan, Maiza (bukan nama sebenar), 33, berkata, pengalaman menyambut Aidiladha sebanyak tiga kali dalam penjara menjadi pengajaran berharga buat dirinya.
“Memang perit apabila terpaksa berjauhan dengan orang yang kita sayang, lebih-lebih lagi pada hari perayaan.
"Namun, kesunyian dan kesedihan dirasai sedikit sebanyak terubat dengan kehadiran ibu melalui program sebegini.
"Saya berazam tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Biarlah hari ini (semalam) menjadi kali yang terakhir saya menyambut hari raya haji dalam penjara,” katanya yang bakal dibebaskan pada Mac tahun depan.
Epul (bukan nama sebenar), 32, pula memberitahu, walaupun hanya setahun di situ sudah cukup menyedarkannya untuk menjadi insan berguna.
“Selain mendalami pelbagai ilmu dan kemahiran, saya juga berkesempatan menggilap bakat terpendam yang sebelum ini dipersiakan begitu sahaja akibat pengaruh dadah.
''Sejak ditempatkan di sini, saya mula bergiat aktif dalam pertandingan nasyid, Tilawah al-Quran, marhaban dan nyanyian lagu patriotik yang diadakan antara penghuni penjara di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penjara Seremban, Penolong Komisioner Hafidz Othman berharap program berkenaan dapat meredakan sedikit kerinduan dan tekanan dihadapi banduan semasa menjalani proses pemulihan.
“Bagi kita, ini merupakan nilai tambah berbentuk ransangan spiritual dalam usaha memulihkan penghuni di penjara ini. Kita mahu menyedarkan banduan bahawa masih ada yang sayangkan mereka di luar sana.
“Pada masa sama, kita juga mahu mendidik mereka supaya menghargai kasih sayang keluarga yang sanggup datang dari jauh dan meninggalkan rutin harian buat seketika semata-mata untuk menghadiri perjumpaan hari ini (semalam),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Sumber:SinarHarian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment