Polis Pulau Pinang menahan 18 individu termasuk tujuh wanita warga asing
atas pelbagai kesalahan dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan di lima
pusat hiburan di seluruh negeri, awal hari ini.
Sebanyak 14 pasukan polis terdiri daripada pegawai dan anggota terbabit
dalam operasi tujuh jam berakhir jam 3 pagi ini di Seberang Perai,
Queensbay, Persiaran Gurney dan sekitar pusat bandar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC Mazlan Kesah berkata, empat
daripada suspek lelaki berusia antara 20-an dan 30-an disyaki anggota
geng 04 berdasarkan lambang tatu pada badan mereka.
“Lapan lelaki ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah
1959 manakala tujuh wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan
pelanggan ditahan atas kesalahan imigresen,” katanya ketika ditemui di
lokasi kejadian.
Beliau berkata beberapa paket dadah pelbagai jenis ditemui bertaburan di
atas lantai dipercayai sengaja dicampak pengunjung pusat hiburan yang
menyedari kehadiran polis.
Mazlan berkata, polis turut menjumpai tiga batang rotan sebesar
pergelangan tangan dan tiga cota di dalam sebuah premis di Persiaran
Gurney dipercayai digunakan sebagai senjata pergaduhan.
Sementara itu, Mazlan berkata, polis turut merampas 12 set komputer yang
diubah suai menjadi mesin judi dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di
Seberang Perai Selatan serta menahan tiga lelaki atas kesalahan
perjudian.
Katanya, seorang pemilik premis boleh didakwa mengikut Seksyen 4B (a)
Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda RM10,000 bagi
setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit
kesalahan.
Selain itu, dua pemain judi akan siasat mengikut Seksyen 7 (2) akta sama
yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda tidak
melebihi RM5,000.
- SUMBER
No comments:
Post a Comment