18 September 2013
Zamboanga City - Di Gempur Dari Udara
Zamboanga: Tentera Filipina melancarkan kempen serangan udara menggunakan helikopter penyerang terhadap pemisah Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang masih bertahan selepas lapan hari di bandar selatan ini. Dua helikopter tentera melancarkan roket ke arah pemisah MNLF di beberapa kawasan dekat pantai di sini, kata wartawan agensi berita.
“Serangan udara ini dibantu tentera darat bertujuan mengenakan tekanan ke atas musuh,” kata jurucakap tentera, Lt-Kol Ramon Zagala. Penggunaan helikopter itu adalah serangan udara pertama sejak tentera Filipina melancarkan serangan mulai Jumaat lalu bagi menamatkan tentangan pemisah yang menggunakan tawanan sebagai perisai manusia. Ditanya mengenai potensi orang awam terperangkap kerana kempen udara itu, Zagala menekankan ia adalah ‘serangan tepat’.
Awalnya, Zagala berkata, hampir 100 pemisah MNLF masih menentang askar kerajaan di dua perkampungan nelayan berkenaan, seminggu selepas mereka masuk ke Zamboanga bagi menuntut kemerdekaan. Zagala berkata, pemisah terbabit tidak akan mampu menentang tentera kerajaan lebih lama lagi.
“Mereka masih ada peluru dan menembak kami,” katanya sambil menegaskan pihaknya semakin hampir menang selepas menawan semula beberapa kedudukan musuh. “Kami tahu keadaan ini semakin hampir ke penghujung dan mereka cuba lari. Ada di kalangan mereka cuba menyamar orang awam, jadi adalah penting ketua kampung membantu kami menunjukkan siapa bukan orang sini,” katanya lagi.
Pemisah MNLF bersenjata berat masuk ke kawasan pusat bandar itu pada Isnin minggu lalu bagi mensabotaj rundingan antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bertujuan menamatkan konflik beberapa dekad lalu. Selepas wakilnya melawat Filipina, agensi hak asasi manusia New York, Human Rights Watch menyuarakan kebimbangan atas nasib orang awam yang terperangkap dalam konflik.
Kira-kira 300 orang awam di sebuah kampung berlindung dalam sebuah bangunan kilang ais selepas lari dari rumah dan ada yang enggan berpindah bagi menjaga harta benda, kata agensi itu. Hampir 70,000 sudah lari dari medan perang. Zamboanga terletak 850 kilometer di selatan Manila.
MNLF melancarkan kempen gerila untuk mencapai kemerdekaan sebelum menandatangani perjanjian damai pada 1996 yang member autonomi terhad. Pengasas MNLF, Nur Misuari menghantar anggotanya ke Zamboanga selepas menuduh kerajaan mengetepikan kumpulannya selepas mula berunding dengan MILF yang meminta kawasan autonomi diperluaskan. – AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment