21 September 2013

POLIS TAWAU LUMPUH KEGIATAN PALSUKAN MYKAD

Gambar Hiasan
 
Tawau, 20 Sept - Polis Tawau berjaya melumpuhkan satu kegiatan mmalsukan kad pengenalan MyKad susulan penangkapan seorang lelaki warga asing di Kampung Tawau Lama, 9 Sept lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Keong Ho Eng berkata suspek berusia 45 tahun itu baru sahaja dibebaskan daripada penjara pada Februari lalu kerana kesalahan sama.

Semasa menjalani hukuman penjara 18 bulan berserta dua sebatan itu, dia menggunakan nama lain. Dia juga telah diusir ke negara asalnya, kata Keong pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Keong, siasatan awal mendapati suspek sudah menjual 14 keping MyKad yang diubah suai pada harga RM80 setiap satu.

Suspek juga memalsukan lesen memandu yang dijual pada harga RM20, katanya.

Mengulas serbuan 6.45 petang berkenaan, Keong berkata pemeriksaan polis di rumah yang didiami oleh suspek dan sepasang suami isteri itu menemukan Sembilan MyKad palsu, tiga MyKad tidak bergambar, satu sijil lahir, dua lesen memandu dan 11 keping gambar dipercayai untuk diguna pada MyKad yang dipalsukan.

Katanya polis juga menemui pelbagai peralatan yang dipercayai diguna untuk membuat MyKad palsu terbabit, di rumah itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 25 (1) (e) Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1961.

Keong berkata polis juga menahan pasangan suami isteri berusia 50-an berkenaan selepas mereka didapati positif dadah.

No comments: