15 September 2013
MARANG - "Sebaik sahaja tersedar daripada tidur, saya lihat ada lelaki
separuh bogel memakai topeng ‘Zorro’ berada atas badan. Saya cuba
menjerit namun mulut saya penuh dengan cecair seperti minyak dan
ditutup,” kata mangsa, seorang pelajar berumur 17 tahun.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pelajar terbabit mendakwa
lelaki separuh bogel itu telah memasukkan cecair seperti minyak
dipercayai telah dicampur bahan lain ke dalam mulutnya agar dia tidak
sedarkan diri.
Bagaimanapun lelaki yang tidak memakai seluar
itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila bapa pelajar terbabit juga
tersedar daripada tidur lalu memeriksa bilik anak perempuannya sebelum
menyergah lelaki itu yang kemudiannya melarikan diri.
Menurut mangsa, lelaki terbabit hanya sempat mengambil telefon bimbit miliknya dan bersyukur kerana tidak diapa-apakan.
Namun mangsa yang tinggal di Kampung Tok Renek itu masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian menimpanya.
“Nasib baik lelaki itu tidak sempat bertindak ganas dan saya bersyukur
kerana kejadian disedari bapa, namun saya tidak akan dapat melupakan
kejadian itu sampai bila-bila, malah masih berasa takut seolah-olah dia
akan datang semula.
“Keluarga juga risau kejadian berulang dan
mereka sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung di Marang
dan kami berharap lelaki itu akan dapat diberkas dengan segera” katanya
ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Ketua Polis
Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi
semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya, kes berkenaan
masih dalam siasatan serta disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun
Keseksaan.
Dalam pada itu, difahamkan lelaki separuh bogel
dipercayai mengalami masalah mental itu juga digelar sebagai ‘orang
minyak’ oleh penduduk kampung kerana sering berkeliaran di sekitar Bukit
Payung dan Padang Midin, Kuala Terengganu.
Malah, kelibat
lelaki tanpa seluar itu berjaya dirakam penduduk di kawasan berkenaan
dan diedarkan kepada umum melalui laman facebook, whatsApp dan media
baru lain termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di kawasan
Bukit Payung, di sini.
Kejadian itu juga menyebabkan JKKK
Padang Midin dan Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin, Kuala
Terengganu menubuhkan satu pasukan rondaan di kawasan kampung berkenaan.
Menurut Pengerusi JKKK Padang Midin, Razali Shahul Hamid, rondaan di
kawasan kampung bermula pada jam 12 malam hingga 6 pagi setiap hari dan
disertai ahli jawatankuasa belia BBest serta penduduk kampung tersebut.
“Rondaan ini telah dijalankan sejak dua tahun lalu dan kita adakan
dengan lebih giat selepas beberapa siri kejadian membabitkan lelaki
dipercayai kurang siuman yang digelar sebagai orang minyak itu dikatakan
mula berkeliaran termasuk di Tok Renek.
“Tok Renek masih di
bawah pentadbiran JKKK Padang Midin. Kampung ini terletak di sempadan
kawasan polis Kuala Terengganu dan Marang, jadi kami akan memberikan
kerjasama penuh dalam membantu dua pihak berkuasa itu memberkas lelaki
terbabit,” katanya. - SH
No comments:
Post a Comment