18 September 2013

Troussier Pula Minat Bimbing Skuad Harimau Malaya?

philippe troussier KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini dua nama, Radojko Avramovic dan Alex Miller  pernah dikaitkan berminat untuk mengisi kerusi panas jurulatih Harimau Malaya,  kini timbul pula nama bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier.
Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikhabarkan sanggup memberi gaji  lumayan sebanyak AS$18,000 (RM59,000) sebulan.
Walaupun begitu, bekas jurulatih Jepun itu hanya bersedia memulakan rundingan  jika ditawarkan gaji tahunan $1.52 juta (RM5 juta) dengan gaji bulanan $126,805  (RM416,00).
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang ditemui enggan mengulas  lanjut mengenai spekulasi itu sambil memberitahu dia tidak tahu menahu mengenai  perkara berkenaan.
“Saya tidak tahu mengenai perkara ini dan enggan memberikan komen lanjut  mengenai spekulasi ini.
“Senarai mereka yang memohon terus bertambah dan sehingga kini, ada sebanyak  37 permohonan kami telah terima yang mana semakin ramai berminat.
Perkara ini membuatkan kita rasa gembira, namun ingin saya tegaskan itu  adalah hak jurulatih yang berminat untuk menghantar permohonan,” katanya selepas  sidang akhbar Kursus Persediaan Fizikal Jurulatih Persekutuan Bola Sepak  Antarabangsa (FIFA) di Hotel Hilton, Petaling Jaya, semalam.
Rajagobal yang masih membimbing pasukan negara mengharungi kempen kelayakan  Piala Asia 2015, masih memiliki baki kontrak bersama FAM sehingga akhir Disember  depan.
Jika jurulatih berumur 57 tahun itu masih berharap mahu membimbing Harimau  Malaya pada tahun hadapan, dia perlu memastikan pasukan negara layak ke pentas  Piala Asia yang merupakan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) paling utama.
Jelas Hamidin lagi, FAM terlebih dahulu akan berbincang sebelum membuat  sebarang keputusan sama ada mahu melanjutkan kontrak Rajagobal jika Harimau  Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia.
“FAM belum lagi membuka jawatan ini (ketua jurulatih Harimau Malaya) dan  mungkin ramai (jurulatih) mengetahui bahawa kontrak Rajagobal akan tamat pada 31  Disember depan.
“Mereka yang terdiri dari jurulatih tempatan mahupun luar negara boleh  menghantar surat permohonan tersebut tetapi FAM akan menilai terlebih dahulu  masih belum membuat sebarang keputusan,” jelasnya.-utusan.

No comments: