Kad Pengenalan Pengawal Diperiksa JPN
PUTRAJAYA
- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memeriksa kad pengenalan semua
pengawal keselamatan di negara ini bagi mengesahkan identiti mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara
itu akan dibuat dalam masa terdekat dan pelaksanaannya tidak melibatkan
tempoh masa.
"Pemeriksaan yang melibatkan lebih daripada 600
syarikat kawalan keselamatan ini akan membabitkan pengawal bersenjata
dan tidak bersenjata," katanya kepada media selepas menerima kunjungan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Othman Hassan, di
pejabatnya di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata pihak juga akan meneliti cadangan agar syarikat kawalan keselamatan diklasifikasi mengikut kategori.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan pihaknya menerima maklumat ada
pihak menggunakan lesen syarikat kawalan keselamatan dan permit senjata
api untuk tujuan lain.
"Kami telah mendapat maklumat mengenai
perkara ini dan tunggu tindakan yang akan diambil oleh pihak
kementerian dalam masa terdekat," katanya.
Langkah yang
diambil pihak berkuasa ini susulan kejadian seorang pengawal keselamatan
yang memperoleh pekerjaan itu menggunakan kad pengenalan palsu menembak
mati seorang pegawai bank ketika merompak bank berkenaan.
Dalam kejadian Rabu lepas, pegawai operasi Ambank cawangan Subang Jaya,
Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak pengawal keselamatan terbabit
ketika membuka peti besi di bilik kebal bank itu di Jalan USJ 2, Subang
Jaya.
Rentetan itu, Kementerian Dalam Negeri membatalkan lesen
syarikat kawalan keselamatan terbabit kerana gagal mematuhi syarat Akta
Agensi Persendirian 1971, sementara siasatan polis mendapati suspek yang
dikenali sebagai Ardi Hamza itu menggunakan kad pengenalan palsu serta
dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia. - Bernama
No comments:
Post a Comment