29 October 2013

Pelakon Jual Karipap Untuk Sara Hidup



PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia terpaksa menjadi penjual karipap untuk menyara hidup selepas kurang mendapat tawaran berlakon hampir setahun lalu.

Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, perniagaan kecil-kecilan itu dilakukan bersama ibunya sepanjang menetap di kampung halamannya di Pulau Pinang.

"Tawaran berlakon memang sudah lama tidak ada jadi daripada saya duduk tanpa berbuat apa-apa adalah lebih baik saya lakukan sesuatu untuk mengisi masa lapang dan mencari duit lebih seperti menjual karipap.

"Alhamdulillah karipap yang dihasilkan bersama ibu iaitu inti kentang, ayam, daging dan sardin mendapat sambutan. Ada kalanya kami menerima tempahan dalam jumlah yang besar," katanya kepada mStar Online.

Tambah Almy, hasil penjualan karipap tersebut dapat membantu meringankan beban untuk dia dan ibunya menampung kehidupan di kampung.

"Saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa walaupun tidak lagi mendapat tawaran berlakon dan sekurang-kurangnya rezeki menjual karipap itu halal.

"Malah jika ada yang menjemput menghadiri acara hiburan dengan bayaran RM100 pun saya terima kerana itu adalah rezeki saya," katanya.

Dalam pada itu, Almy berkata, kemunculan ramai artis wanita baharu turut menjadi penyebab dia tidak lagi dipilih untuk membintangi drama atau filem daripada pihak produksi.

Tambah Almy, sikapnya yang tidak pandai untuk melobi kepada penerbit dan pengarah juga turut menyebabkan masalah itu menjadi lebih teruk.

"Perasaan rindu hendak berlakon itu memang ada tetapi nak buat macam mana tawaran memang tiada. Hendak meminta-minta saya segan kerana saya tidak pandai melobi penerbit.

"Tambahan pula pelakon wanita baharu semakin ramai dan lebih menyerlah berbanding diri saya yang tidak seberapa ini," katanya merendah diri.

Bagaimanapun kata Almy, dia tidak pernah meminta simpati sebaliknya berharap pihak produksi memandang kepada bakat lakonannya untuk diambil berlakon dalam drama terbitan mereka.

No comments: