30 October 2013

Sekongkol Seludup

 
Foto: Polis menahan pengawal keselamatan warga Indonesia kerana dipercayai memiliki MyKad palsu, di Wangsa Maju - Foto Owee Ah Chun

Kuala Lumpur: Segelintir pengusaha syarikat keselamatan di negara ini dikesan bersekongkol dengan sindiket menyeludup masuk warga asing, khususnya dari Indonesia sebelum diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan menggunakan MyKad palsu.

Ia berikutan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang hanya membenarkan rakyat tempatan dan warga Nepal diambil bekerja, sekali gus menyebabkan syarikat keselamatan terdesak untuk mendapatkan pengawal keselamatan baru.
Difahamkan, helah itu terbongkar selepas polis menahan lapan warga Indonesia berketurunan Acheh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli belah di Wangsa Maju, Isnin lalu atas kesalahan memiliki MyKad palsu.

Seorang warga tempatan ditahan

Dalam serbuan jam 10.30 malam, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, dipercayai anak pemilik syarikat keselamatan terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut, khusus bagi mengenal pasti sumber dokumen palsu berkenaan.

Sumber memberitahu serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Wangsa Maju selepas menerima laporan penyelia keselamatan pusat beli-belah itu yang mengesyaki MyKad digunakan pengawal keselamatan adalah palsu dalam pemeriksaan rambang dilakukannya.

Dalam soal siasat dijalankan, pengawal keselamatan terbabit mendakwa dipaksa majikan untuk menyimpan kad pengenalan itu sebagai syarat utama untuk bekerja, namun tidak mengetahui kesahihan dokumen berkenaan.

“Mereka mendakwa hanya diminta menyediakan dua keping gambar berukuran pasport dan menandatangani beberapa dokumen sebelum diberikan kad pengenalan berkenaan ketika mula bertugas, malah salinannya turut diserahkan kepada pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit untuk rekod.

“Ia hanya bagi tujuan pengesahan bahawa mereka adalah warga negara Malaysia, malah pengawal keselamatan terbabit turut diarahkan mengaku sebagai orang Sabah atau Sarawak berikutan dialek pertuturan digunakan, andainya ditanya pihak pengurusan atau pihak berkuasa,” katanya.

No comments: