28 October 2013

Tinggalkan Kerjaya Pensyarah Kerana Isteri ..

NIKAH-DIANA-AMIR-2 
 
PETALING JAYA: Suami kepada pelakon Diana Amir iaitu Mohd Habibbullah A Rahman telah melepaskan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah sejak enam bulan lalu.
Mohd Habibbullah berkata, keputusan itu dibuat bagi membantu isterinya menguruskan beberapa buah perniagaan termasuk jenama tudung milik Diana iaitu Diana Amir Exclusive.
“Keputusan itu dibuat kerana saya ingin meneruskan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran (PhD), sementara itu saya akan membantunya menguruskan beberapa perniagaan.
“Alhamdulillah sudah enam bulan saya membantunya dan pelbagai pengalaman baharu dapat saya belajar dan seronok dapat terlibat dalam dunia perniagaan,” katanya kepada mStar Online.
Diana sah bergelar isteri kepada Habibbullah dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya kira-kira pukul 9.30 malam pada Jumaat lalu.
Pada majlis itu Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27, turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, senaskhah Al-Quran dan cincin.
Dalam perkembangan sama, Habibbullah berkata, sebagai seorang suami, dia akan memberikan sokongan penuh kepada Diana untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.
Dia juga tidak mempunyai sebarang halangan dan yakin Diana bijak untuk memilih tawaran dan menjaga dirinya sebagai seorang wanita dan isteri orang.
“Sebelum kami berkahwin, lakonan adalah kerjayanya dan saya menerima dan akan terus memberi sokongan kepada Diana dalam apa yang ingin dia lakukan.
“Saya yakin dia pandai menjaga diri dan batas-batas sebagai seorang isteri,” katanya.
Dalam pada itu, Diana berkata, seperti mana pasangan yang sudah berkahwin dia mengharapkan rumah tangga mereka akan diserikan dengan kehadiran anak dan mengimpikan sebuah keluarga besar.
Dia dan suami memang sukakan kanak-kanak dan jika dizinkan dia ingin menimang cahaya mata secepat mungkin.
“Insya-Allah jika diberikan rezeki cepat kami sangat bersyukur dan gembira tambahan pula kami memang sukakan kanak-kanak dan mengimpikan sebuah keluarga besar,” katanya

No comments: