31 March 2013

Tawau - Tawau Scot Clan Makin Popular


AHL-AHLI Kelab Tawau Skuter Scoot Clan gembira selepas menyertai aktiviti konvoi baru-baru ini.
TAWAU 27 Mac - Skuter adalah antara jenis motosikal yang kian diminati golongan muda hari ini kerana reka bentuknya yang menarik, mudah ditunggang dan memiliki kelajuan yang sama seperti motosikal 'kapcai' biasa.

Di Tawau, sebuah daerah yang bersempadan dengan negara jiran Indonesia, motosikal jenis skuter turut menarik minat ramai golongan belia di daerah itu sehinggakan sebuah kelab berkenaan turut ditubuhkan untuk para peminat skuter saling berkongsi minat.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia berkesempatan mengikuti perkembangan kelab tersebut iaitu iaitu Tawau Scoot Clan (TSC), yang hari ini mempunyai keahlian kira-kira 80 orang, selepas ditubuhkan pada 2006.
Pengerusi TSC, Nazrikh Naharuddin @ Nef berkata, idea menubuhkan TSC tercetus selepas melihat lebih ramai golongan belia di daerah itu mula meminati motosikal skuter.
Idea itu katanya, terbentuk hasil perbincangan dengan beberapa rakannya yang sependapat supaya sebuah kelab ditubuhkan agar boleh saling bertukar fikiran.
"Kelab ini pada mulanya kami tubuhkan bertujuan berkongsi idea tentang motosikal skuter seperti dari segi alat ganti, pembaikan kerosakan dan sebagainya."
"Pada awalnya kami hanya ada lebih kurang 20 pemilik skuter. Tetapi semakin lama semakin ramai yang mula bertanyakan tentang kelab ini dan ingin menyertainya."
"Di situ kami mula berfikir melaksanakan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik seperti berkonvoi, kebajikan dan sebagainya," katanya.
Tambah Nef, aktiviti berkonvoi ke pusat-pusat pelancongan menarik seperti Taman Bukit Tawau adalah antara aktiviti yang sering mereka lakukan pada hujung minggu.
Tidak hanya tertumpu di Daerah Tawau, ahli-ahli TSC juga ujarnya, turut berkonvoi ke daerah-daerah lain di negeri Sabah, termasuk Kota Kinabalu, terutamanya pada musim cuti.
"Kita juga turut membuat atau menerima kunjungan daripada kelab-kelab skuter dari daerah-daerah lain bagi merapatkan silaturahim dan saling bertukar-tukar fikiran."
"Lebih menarik, kami juga sering dijemput untuk terlibat memeriahkan program yang dianjurkan agensi-agensi kerajaan atau parti-parti politik di daerah ini," katanya.
Nef berharap, kelab TSC akan terus dikenali dan lebih penting menjadi sebuah kelab belia contoh di Sabah suatu masa nanti.
"Kami di peringkat kepimpinan kelab ini juga sering mengingatkan ahli-ahli agar tidak terjebak dalam kancah sosial dan penyalahgunaan najis dadah."
"Walau bagaimanapun, setakat ini, kami berpuas hati dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan ahli-ahli kami dan masyarakat di luar sana kepada TSC," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: