02 April 2013

Lahad Datu - Kanak Kanak Jumpa Greenade


  

LAHAD DATU – Sebutir grenad, dipercayai milik militan dari selatan Filipina, ditemui berhampiran sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu, Felda Sahabat dekat sini, hari ini.
Bom yang dikatakan masih aktif itu ditemui dua kanak-kanak berusia 7 dan 10 tahun yang bermain di kawasan rumah berkenaan pada kira-kira 8 pagi.
Seorang penduduk, Mad Ali Hassan, 60, berkata beliau dimaklum berkaitan penemuan berkenaan ketika mengemas rumahnya, tidak jauh dari kawasan bom itu ditemui.
“Sebagai seorang pesara askar wataniah, saya kenal itu adalah grenad yang masih aktif dan boleh meletup bila-bila masa.
“Kami harap pihak keselamatan membantu penduduk untuk membersihkan kawasan kampung daripada bahan letupan yang masih aktif demi keselamatan orang ramai, terutama kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pemberita.
Penduduk Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian, yang mempunyai dokumen, dibenar pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai Sabtu, selepas pasukan keselamatan memastikan kawasan itu selamat daripada ancaman penceroboh militan dari selatan Filipina.
Sementara itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rashid yang berada di lokasi berkenaan menasihatkan penduduk yang menemui peluru hidup atau bom yang masih aktif supaya melaporkan segera kepada pasukan keselamatan.
“Kami harap penduduk jangan ambil mudah perkara ini kerana bom yang masih aktif boleh meletup dan menyebabkan kecederaan… kami minta mereka kawal anak-anak daripada bermain dengan bahan berbahaya itu,” katanya. – BERNAMA
Kredit ; Mynewshub

No comments: