03 April 2013

Semporna - Budaya Kaum Bajau


Budaya ialah keseluruhan cara hidup sesuatu kelompok  sosial yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan, pemikiran, nilai, kepercayaan, adat resam serta segala penciptaan yang berupa kebendaan dan kerohanian lalu membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Masyarakat Bajau Daerah Semporna adalah berbeza dengan masyarakat Bajau di kawasan Pantai Barat Sabah. Seperti yang diterangkan sebelum ini, meskipun duduk di kawasan yang sama iaitu Daerah Semporna, namun kewujudan pelbagai etnik Bajau  menyebabkan pelbagai variasi dialek dan loghat bahasa bajau. Justeru membuatkan Daerah ini kaya dengan pelbagai budaya dari pelbagai etnik Bajau.
            Menyentuh budaya etnik Bajau di Daerah Semporna, bahagian ini akan membincangkan mengenai bahasa, makanan tradisional, tarian tradisional, pakaian tradisional juga adat resam dan kepercayaan.

a)         Bahasa

Jika diperhati, bahasa  pertuturan  Bajau Pantai Barat Sabah dan Pantai Timur Sabah adalah berbeza meskipun berkongsi bangsa yang sama. Walaupun berbeza sebutan tetapi masih mengekalkan makna yang sama, 40% daripada bahasa Bajau adalah bahasa Melayu. Kebanyakan orang-orang tua kaum Bajau dahulu amat sukar untuk menyebut perkataan yang mengandungi huruf ‘R’, ‘C’ dan ‘Z’. Contohnya perkataan ‘SYUKUR’ akan disebut ‘SUKUL’, ‘CAWAN’ disebut menjadi ‘SAWAN’ dan ‘ZAMAN’ akan menjadi ‘JAMAN’.

            Namun pembelajaran bahasa Melayu di sekolah, telah mengubah corak pertuturan di kalangan masyarakat Bajau.  Ini adalah kerana, pertuturan dengan anak-anak juga cucu-cicit membantu sedikit demi sedikit memperbetulkan sebutan mereka. Penulis sendiri, tidak fasih untuk bertutur dalam bahasa Bajau kerana sering bertutur dalam bahasa melayu apabila berada di rumah. Terdapat ramai masyarakat Bajau hari ini, berkomunikasi dengan anak-anak menggunakan bahasa melayu terutamanya bagi penjawat awam dan masyarakat yang mendiami kawasan daratan daerah Semporna. Mereka akan bertutur  dengan menggunakan bahasa Bajau cuma apabila berkomunikasi dengan pasangan (suami isteri), atau dengan sahabat handai. Fenomena ini jika dibiarkan, boleh memupuskan bahasa itu sendiri apabila generasi muda tidak fasih untuk bertutur dalam bahasa Bajau.  Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan lidah masyarakat Bajau lemah dalam menyebut huruf-huruf di atas, terutamanya golongan warga emas juga segelintir generasi baru. Bagi etnik Pala’u pula, mudah untuk dikesan melalui pertuturan mereka iaitu lontaran suara kebanyakannya seperti menyebut huruf qalqalah.

Perbezaan etnik Bajau di Daerah Semporna ini juga, menyebabkan wujudnya kepelbagaian dialek dan loghat Bajau di Daerah Semporna. Kadang-kadang meskipun mempunyai persamaan sebutan tetapi lenggok dan gaya sebutan adalah berbeza mengikut etnik. Sebaliknya di Pantai Barat Sabah pula, yang membezakan sebutan adalah mengikut Daerah  iaitu Kota Belud, Putatan, Tuaran dan Papar.

b)        Makanan Tradisional

Makanan tradisional masyarakat Bajau di Daerah Semporna boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu;

 i.               Putu
Putu adalah salah satu makanan yang agak popular di kalangan masyarakat Bajau di Daerah Semporna. Makanan tradisional ini adalah berasaskan ubi kayu yang diparut dan diperah airnya lalu dikukus atau masak stim. Lazimnya masyarakat Bajau menjadikan putu sebagai makanan ruji menggantikan nasi. Putu sesuai dimakan bersama sagol, kima, tayum, tehek-tehek dan juga ikan bakar.
ii.               Tompek Atau Tinompek
Makanan ini juga adalah berasaskan ubi kayu. Bezanya adalah cara memasaknya, selepas ubi kayu diparut dan diperah, akan digoreng tanpa minyak sehingga berwarna kekuning-kuningan. Makanan ini juga disebut sebagai aggang oleh etnik Bajau lain di Daerah Semporna.

iii.               Sagol Atau Senagol
 
Makanan ini adalah dari  isi ikan yang dimasak kunyit. Lazimnya hanya beberapa jenis ikan sahaja yang boleh dimasak sagol atau senagol iaitu ikan yu, pari, kihampau, buntal, tombad, ulapai, kat, peteg dan banggak-banggak atau tabullung. Ikan akan dicelur atau dimasak separuh masak bagi memudahkan isi ikan dihancurkan. Hati ikan akan dicincang dan lazimnya minyak hati ikan inilah yang memberikan rasa sebenar kepada sagol. Justeru cara memasak yang mencampur adukkan semua bahan ikan, makanan ini diberi nama sagol yang bermaksud mencampur-adukkan. Masakan ini terbahagi kepada dua jenis sagol berkuah dan sagol tidak berkuah.

  iv.          Kima
Kima adalah sejenis kerang laut yang menyelit di celah-celah permukaan batu. Makanan ini agak popular di Daerah Semporna. Ianya boleh dimakan mentah setelah dihiris atau dipotong kecil-kecil dan dicampur dengan perahan limau serta rempah ratus yang lain mengikut selera orang yang hendak makan. Kima pula boleh didapati dalam keadaan basah dan juga kima yang dikeringkan.

c)         Tarian Tradisional
Tarian igal-igal dan dalling-dalling merupakan tarian tradisional masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah dan amat popular di Daerah Semporna. Perkataan dalling-dalling adalah kata ganda dalam bahasa Bajau yang mana dalling bermaksud gerakan seluruh badan mengikut rentak tertentu.  Menurut Mohd Shafie Apdal (2006 :25) dalam membincangkan tarian igal-igal ialah tarian orang Bajau yang lebih dikenali sebagai tarian ‘helang laut’. Perkataan igal itu sendiri berasal dari perkataan bahasa Inggeris iaitu ‘eagle’. Gerak tari yang anggun  meniru gerakan helang . Simbolik haiwan ini adalah dihormati oleh orang-orang Semporna, selain dikatakan memasukkan gerakan dari angin bertiup ( Lampiran C ).
Tarian igal-igal diiringi dengan alat muzik tradisional masyarakat bajau iaitu kuling tangan, gong, dan tambul. Alat muzik ini dikenali sebagai tagungguk. Selain daripada iringan muzik, penari juga akan diiringi bacaan pantun dalam bahasa bajau yang kebiasaannya dinyanyikan oleh seorang atau dua orang penyanyi. Kebiasaannya pantun yang dinyanyikan oleh dua orang penyanyi akan menjadi pertandingan diantara penyanyi tersebut. Menariknya mereka akan menyanyi secara spontan, yang mana bait-bait  pantun menyentuh peribadi penari seperti rupa paras, pakaian, koreografi tarian dan lain-lain. Bezanya dengan tarian dalling-dalling pula diiringi dengan alatan muzik iaitu gabbang dan seorang penyanyi. 
            Tarian ini biasanya ditarikan di majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan. Semasa majlis perkahwinan, kebiasaannya para penari akan mendapat sabod iaitu duit yang disisipkan di tangan ketika menari sebagai tanda hormat tuan rumah juga hadiah dari penonton apabila terhibur dengan tarian mereka. Kadang-kadang penari dan penyanyi akan bertanding menunjukkan kepakaran masing-masing, siapa yang bertahan menyanyi atau menari? Jawapannya adalah pihak yang berhenti sama ada penari atau penyanyi akan dianggap kalah oleh hadirin. Tarian tradisional ini cuba dikomersialkan iaitu dengan mengadakan pertandingan tradisional di peringkat sekolah  juga pada sambutan Regatta Lepa iaitu perayaan tahunan di Daerah Semporna.

            Seiring dengan kemajuan, tarian tradisional ini juga sudah mendapat sentuhan moden. Semasa pemerhatian penulis di sebuah majlis perkahwinan, tarian igal-igal juga boleh diiringi dengan alat muzik keyboard atau organ bukan lagi diiringi oleh alat muzik tradisional sahaja. Bahkan apabila penari adalah dari golongan remaja, mereka lebih memilih alat muzik moden berbanding alat muzik tradisional. Justeru, melihat perkembangan semasa, bagi menghormati kehendak tetamu, tuan rumah akan berusaha untuk menyediakan alat muzik tradisional dan moden ketika mengadakan majlis perkahwinan.

            Manakala irama tarian yang agak popular di kalangan masyarakat Bajau ialah jenes, lolai dan titik. Kumpulan pemuzik masa kini juga, cuba mengharmonikan irama tradisional dengan moden seperti irama Hindustan dan Indonesia.

d)        Pakaian
Pakaian masyarakat Bajau terkenal dengan warna hitam. Warna hitam menjadi pilihan kerana hanya warna hitam yang tersedia selain putih. Warna putih pula adalah simbolik kepada kematian bagi kaum muslimin. Oleh itu, warna hitam menjadi pilihan. Manik-manik berwarna terang dan berkilau akan dijahit menghiasi kostum  dan menyerlahkan fesyen pakaian tersebut. Bagi lelaki akan menggunakan tanjak, manakala bagi wanita pula menggunakan kroset yang menyerlahkan gaya feminine (Lampiran D). Kostum ini biasanya dikenakan ketika terdapat perayaan juga ketika mempersembahkan tarian tradisi masyarakat Bajau. (Mohd Shafie Apdal, 2006: 23).

e)         Adat Resam Dan Kepercayaan

Masyarakat Bajau di Daerah Semporna juga kaya dengan adat resam dan kepercayaan yang tersendiri. Diantara adat yang akan dibincangkan ialah adat perkahwinan, kematian, juga beberapa adat dalam kehidupan masyarakat Bajau di Daerah Semporna selain pantang larang yang masih diamalkan.

i.               Adat Perkahwinan
Seperti masyarakat Melayu, dalam proses perkahwinan juga mempunyai beberapa peringkat seperti merisik, bertunang, akad nikah dan juga persandingan. Selepas proses merisik barulah rombongan mahanda (meminang) akan dihantar ke rumah bakal pengantin perempuan. Selama tempoh bertunang, pihak lelaki hendaklah menghantar belanja setiap bulan kepada bakal pengantin perempuan, disebut sebagai amalanja.

            Semasa meminang pihak perempuan akan menyatakan barang hantaran yang perlu dibawa oleh pihak lelaki semasa hari perkahwinan berlangsung. Barang-barang yang perlu dibawa biasanya terdiri daripada dublun basingan (kerongsang emas) atau sebarang perhiasan barang kemas, kuih penyalam dan kuih jala sebanyak 300 biji, segulung kain putih, seekor lembu (boleh digantikan dengan wang). Menurut kepercayaan, sekiranya barang-barang ini tidak disediakan, maka pengantin akan lambat mendapat anak atau tidak akan mendapat anak. Oleh itu, barang-barang di atas boleh dianggap barang wajib dalam hantaran perkahwinan.

            Lazimnya majlis akan diadakan di siang hari sebelum waktu  zohor atau selepas waktu zohor. Pada malam hari pula, akan diadakan majlis persandingan di rumah pihak pengantin perempuan. Setelah  pasangan pengantin berada di rumah pihak pengantin perempuan selama tiga hari, keluarga pihak lelaki pula akan datang berkunjung ke rumah pihak perempuan sekaligus ingin mengambil pasangan pengantin baru. Adat ziarah dan mengambil menantu ini disebut sebagai magtingkuang.

ii.             Adat Kematian
Secara keseluruhan upacara kematian masyarakat Bajau di Daerah Semporna adalah sama seperti bangsa Melayu kerana mereka juga beragama Islam. Perkara fardhu kepada jenazah seperti dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan dilakukan dengan sempurna. Namun apa yang membezakan, kepercayaan dan adat, juga pantang larang semasa terjadinya kematian.

            Keluarga si mati akan mengeluarkan barang-barang kepunyaan si mati khususnya pakaian, yang akan diletakkan di piring dihiasi bunga-bunga[1] dipanggil lampai. Orang yang bertanggungjawab membawa lampai ke kubur bermakna akan menjadi empunya barang tersebut. Perbuatan ini adalah dianggap sebagai sedekah bagi si mati.

            Sebelum jenazah dikebumikan, ketika keranda hendak diusung ke tanah perkuburan semua ahli keluarga si mati akan pasuhuk[2]  di bawah keranda sebanyak tiga kali. Perbuatan ini dipercayai membolehkan si mati tidak akan mengingati keluarganya yang masih hidup. Kepercayaan masyarakat Bajau juga, bahawa orang yang mati boleh membuatkan orang hidup sakit atau dikenali sebagai keteguran. Manakala bagi masyarakat Bajau yang terlihat pula, sekiranya jenazah melalui kawasan rumah atau mereka berselisih dengan rombongan yang membawa jenazah mereka akan membuang sebarang benda setelah rombongan tersebut berlalu pergi. Perbuatan ini adalah bagi membuang sial.

            Selepas upacara pengebumian, satu tempat tidur akan disediakan untuk si mati seperti tilam atau tikar, bantal dan sebagainya peralatan tidur. Bantal akan diletakkan di bahagian kepala dan bahagian kanan kiri tempat tidur. Selain itu, semua pakaian si mati akan diletakkan berhampiran dengan tempat tidur tersebut. Tempat tidur ini dikenali sebagai bangkai-bangkaian. Sepanjang bangkai-bangkaian berada di rumah, maka setiap pagi dan petang imam akan datang membacakan doa untuk si mati, dan setiap kali selepas membaca doa imam akan dijamu oleh tuan rumah. Selain itu, makanan[3] juga akan disediakan di tepi bangkai-bangkaian. Tempoh bangkai-bangkaian berada di rumah adalah bergantung kepada kemampuan keluarga si mati. Ini adalah kerana, selama bangkai-bangkaian berada di rumah, maka tuan rumah akan berterusan  magtahlil  (mengadakan kenduri tahlil)  pada waktu malam, kebiasaannya selepas waktu maghrib. Selain itu, tujuh hari berturut-turut akan diadakan kenduri arwah disebut sebagai magduwa a. Kenduri arwah yang akan disambut secara besar-besaran adalah hari ke tujuh (bahangi pituk), kedua puluh (bahangi duwam puk), keempat puluh (bahangi mpat puk) sehinggalah kenduri seratus (bahangi dahatus). Dalam tempoh kenduri besar-besaran inilah, pihak tuan rumah akan memilih waktu yang sesuai untuk menamatkan kenduri tahlil dikenali sebagai tapus bahangi[4]. Kenduri arwah ini biasanya dilakukan sebelum waktu zohor. Makanan akan dihidangkan di dalam talam sebelum didoakan oleh imam dan jemaah yang hadir. Lauk yang wajib disediakan ketika ini adalah nasi campur[5] dan air putih, disamping lauk-lauk yang lain. Makanan dihidang di dalam talam yang dibacakan oleh imam dipanggil kok dulang, semua lauk yang berada kok dulang akan diberikan kepada imam untuk dibawa pulang. Manakala air putih yang dihidang ketika kenduri akan diedarkan terutamanya kepada pihak tuan rumah untuk diminum.

            Adat lain ketika kematian ialah magjaga-jaga. Namun tidak semua etnik Bajau di Daerah Semporna yang melakukannya. Hanya etnik Bajau Ubian dan Bajau Sikubung yang mengamalkan magjaga-jaga  selepas upacara pengebumian. Magjaga-jaga ialah aktiviti  menjaga kubur. Ini adalah kerana menurut kepercayaan mereka, kubur akan diselongkar oleh kang-kang laut[6] dan mengambil mayat sekiranya tidak dijaga. Bagi pandangan penulis pula, gejala kubur diselongkar atau digali bukanlah disebabkan oleh hantu seperti yang mereka percayai. Keadaan tanah pulau yang agak keras dan berbatu menyebabkan penggali kubur tidak dapat menggali kubur dengan lebih dalam. Bau mayat yang agak kuat, merangsang binatang seperti anjing dan babi hutan untuk menggali kubur tersebut.

           
iii.           Adat Kehidupan Lain
Selain adat di atas, terdapat beberapa adat lain yang masih diamalkan oleh masyarakat Bajau di Daerah Semporna iaitu;
a)             Magkiparat
Magkiparat ialah acara bermaaf-maafan diantara ahli keluarga. Lazimnya setiap orang yang hendak menunaikan haji akan magkiparat terlebih dahulu, dengan mengumpulkan keluarga dan bermaaf-maafan. Selain daripada itu, sekiranya terdapat orang yang sakit dan lama tenat (nazak), ahli keluarga pesakit akan mencari alternatif mengumpulkan keluarga magkiparat. Kepercayaan mereka, pesakit sukar untuk menghembuskan nafas kerana mempunyai masalah[7] dengan ahli keluarga. Magkiparat juga dilakukan apabila ahli keluarga telah bersengketa atau konflik besar-besaran diantara mereka telah tercetus. Apabila mereka hendak berbaik semula, mereka akan magkiparat.

Semasa magkiparat mereka akan menyediakan bahan berikut;
ΓΌ  seekor ayam kampung yang masih hidup
ΓΌ  beras
ΓΌ  minyak
ΓΌ  telur
ΓΌ  serai
ΓΌ  kunyit
ΓΌ  bawang merah
ΓΌ  bawang putih
ΓΌ  halia
ΓΌ  kelapa

Bahan-bahan di atas akan diletakkan di tengah-tengah di mana semua ahli keluarga yang magkiparat berkumpul. Seorang imam akan dijemput untuk mengendalikan acara ini. Semua ahli keluarga yang terlibat akan duduk dalam bulatan dan meluahkan rasa tidak puas hati kepada pihak yang lain ataupun seorang daripada mereka, akan menceritakan permulaan atau sebab-sebab konflik berlaku. Setelah itu mereka akan saling berbahas dan menegakkan hujah masing-masing. Apabila keadaan semakin panas dan beremosi, imam tersebut akan cuba menenangkan mereka dan mengingatkan tujuan berkumpul adalah untuk memperbaiki keadaan yang tegang. Selepas upacara meluahkan selesai, imam akan mengakhiri dengan bacaan doa. Semua bahan yang mereka sediakan akan disedekahkan kepada imam tersebut.

Bagi penulis yang menyaksikan acara ini berlangsung, membuat kesimpulan magkiparat adalah seperti proses kaunseling, imam bertindak sebagai kaunselor yang memandu arah tuju perbincangan. Namun bagi penulis pula, ada baiknya sebelum perselisihan berpanjangan dan berlarutan, mereka duduk berbincang seperti ini. Bukannya menunggu sebarang musibah, barulah timbul kesedaran untuk bermaafan. Adakalanya proses ini akan lebih mengundang keaiban kerana semua kesalahan akan diungkapkan, seperti membuka pekung di dada. Hadirin yang turut sama menyaksikan akan mengetahui keaiban tersebut, dan menimbulkan pelbagai umpatan di kalangan masyarkat.


b)             Magtimbang
Acara magtimbang dilakukan apabila seorang wanita bersalin dalam bulan safar. Ibu dan anak akan ditimbang dengan buah-buahan seperti kelapa, tebu, pisang dan sebarang makanan lain. Lazimnya magtimbang dilakukan semasa anak tersebut digunting[8].


c)             Maggunting
Adat dan budaya lama ini diwarisi sejak turun temurun lagi. Upacara maggunting ialah cukur jambul beramai-ramai di masjid atau surau sama ada dalam bulan rabiul awal atau semasa hari raya. Kanak-kanak lelaki yang digunting rambutnya akan diarak ke masjid beramai-ramai disertai dengan replika Jong atau  Ajjung [9], manakala kanak-kanak perempuan pula Mahligai[10] yang dihias indah. Jong atau Ajjung dan Mahligai lazimnya dihiasi dengan makanan ringan kanak-kanak seperti keropok, gula-gula, coklat dan pelbagai makanan lain. Replika Jong atau Ajjung dan Mahligai ini adalah melambangkan seorang putera dan puteri raja. Selepas upacara maggunting makanan ringan tersebut akan diagihkan kepada para jemputan khususnya kanak-kanak.


d)             Mandi Gerhana
Wanita yang hamil dan berlaku gerhana ketika dia sedang mengandung, maka hendaklah mandi gerhana bagi mengelakkan anak yang dilahirkan mendapat tanda lahir yang besar berwarna hitam.


e)             Pantang Larang Dan Kepercayaan
Diantara contoh pantang larang dan kepercayaan masyarakat Bajau di Daerah Semporna ialah;
·                Semasa isteri mengandung, pasangan suami isteri tidak boleh menyangkut tuala atau sebarang pakaian di bahu. Ini adalah kerana dibimbangi akan menyukarkan isteri hendak bersalin kerana tali pusat melilit.
·                Orang-orang tua tidak membenarkan bantal dibawa keluar rumah. Ini adalah kerana, keesokan harinya orang yang membawa bantal, akan mendapati badannya dicakar syaitan.
·                Tidak boleh membeli dan meminta garam di malam hari kerana akan membawa sial.
·                Mayat tidak boleh dilangkahi kucing, kerana menurut kepercayaan mereka mayat akan bangun
·                Sekiranya jenazah masih berada di dalam rumah, orang yang berada di rumah tersebut dan juga berhampiran rumah tidak makan sayur labu. Menurut kepercayaan mereka, mayat akan bangun makan disaat orang lain sedang tidur
Kredit:AminahNasir


[1]  akan ditaburkan pada kubur si mati.
[2]  Perbuatan seperti  hendak masuk ke bawah kolong
[3] Makanan kegemaran si mati atau makanan yang dimintanya semasa sakit atau sebelum mati
[4]  Proses menyerahkan semua barang tempat tidur (bangkai-bangkaian) tersebut kepada imam yang datang mendoakan pagi petang di rumah tuan rumah. Ianya dianggap sebagai sedekah untuk si mati.
[5]  Nasi kuning dan nasi putih diterap dalam mangkuk sehingga menjadi nasi berlapis kuning dan putih. Di atas nasi tersebut akan diletakkan sebiji telur rebus, manakala di bahagian tepi dihiasi dengan kuih panyam (penyaram)
[6] Nama sejenis hantu laut mengikut kepercayaan mereka
[7]  Bermasam  muka, tidak berpuas hati, bergaduh atau  konflik diantara keluarga
[8] Cukur jambul
[9] Kapal layar
[10] Rumah

No comments: