02 April 2013

Op Daulat - Penyamaran Sebagai Orang Awam



“Saya mengharapkan supaya penduduk kampung dapat memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa supaya keamanan di kawasan pertempuran dapat dipulihkan segera,” katanya ketika meninjau keadaan Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian selepas penduduk dibenarkan pulang, semalam.



Salleh (kanan) memperkatakan sesuatu kepada penduduk Kampung Tanjung Batu ketika mengadakan lawatan, semalam


Polis tidak menolak kemungkinan ada pengganas Kiram yang menyamar sebagai orang kampung untuk melarikan diri dari kawasan pertempuran.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rashid berkata, polis meminta kerjasama penduduk supaya segera melaporkan kepada mereka jika terlihat orang yang tidak dikenali berada di kawasan kampung.

Menurutnya, ini secara langsung memudahkan pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan pengganas Kiram yang menceroboh negara ini sejak 12 Februari lalu.

Mengulas mengenai gerakan ofensif ke atas pengganas Kiram, Salleh berkata, pasukan keselamatan kini sedang melakukan gerakan pembersihan di kawasan Kampung Sungai Bilis, Lok Buani dan Lok Semawang.

“Kita menjangkakan tindakan ini (pembersihan) akan mengambil masa dalam satu atau dua hari lagi sebelum kita isytiharkan kawasan tersebut selamat untuk diduduki,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Daerah Lahad Datu juga sudah diarahkan untuk melakukan pemeriksaan di setiap rumah bagi menilai tahap kerosakan dan kemusnahan yang ditanggung penduduk sebelum sebarang bentuk tindakan dapat dilakukan kerajaan.

Mengulas mengenai penemuan peluru atau bahan letupan yang masih aktif, Salleh meminta orang ramai segera melaporkannya kepada pasukan keselamatan yang bertugas di lokasi.

Beliau juga meminta orang kampung jangan mengambil atau membiarkan kanak-kanak bermain bahan letupan itu kerana bimbang berlaku kemalangan termasuk kehilangan nyawa.

Sumber - SINAR HARIAN

No comments: