04 April 2013

80,442 Jawatan Kosong Perlu Di Isi - SPA




PUTRAJAYA 4 April - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan hampir 80,442 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam bakal diisi sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan sesi pertemuan SPA dengan suruhanjaya perkhidmatan negeri, polis, kehakiman, jururawat dan guru pada minggu lepas.

Katanya, melalui pertemuan itu terdapat pertambahan kekosongan pelbagai jawatan sama ada secara lantikan tetap dan kontrak yang perlu diisi di pelbagai peringkat jabatan.

"Sebelum ini kita ada umumkan terdapat 60,000 jawatan kosong perlu diisi dan selepas pertemuan dijalankan jumlahnya mengalami pertambahan.

"Mungkin juga akan bertambah lagi selepas pertemuan hari ini, kita mahukan maklumat lanjut dalam masa seminggu ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Tahunan SPA dengan kementerian, jabatan pentadbiran negeri di bawah kuasa suruhanjaya itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Sementara itu, Mahmood berkata, SPA telah melantik seramai 14,257 pegawai dalam perkhidmatan awam persekutuan bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun ini.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, suruhanjaya telah bermesyuarat sebanyak 12 kali selain mengendalikan pelbagai bidang tugas.

Bagi lantikan mengikut kaum, katanya, daripada hampir 1.4 juta jumlah permohonan, kaum Cina menunjukkan peratus tertinggi iaitu sebanyak 54.28 peratus, diikuti India 43.76 peratus dan Melayu 28.62 peratus.

"Selebihnya Bumiputera di Sabah dan Sarawak sebanyak 39.91 peratus serta 35.97 peratus daripada kaum lain-lain," katanya.

No comments: