IPOH - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs) hari ini menggesa kerajaan mempercepatkan kajian semula semua
jenis elaun serta insentif baharu penjawat awam di seluruh negara
memandangkan kos sara hidup yang semakin membebankan.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata kongres itu telah menyerahkan
maklumat berkaitan kepada Perbendaharaan awal tahun ini bagaimanapun
sehingga hari ini Cuepacs tidak pernah dipanggil untuk memberi
penjelasan berhubung permintaan itu.
"Perbendaharaan perlu mempercepatkan kajian mengenai perkara ini sebab
semasa pembentangan Bajet 2014, pengumuman mengenai permintaan kita
supaya elaun perumahan ditambah, bantuan sara hidup diselaraskan serta
kajian pinjaman perumahan tidak dinyatakan," katanya kepada pemberita
selepas perjumpaan dengan warga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri
Perak di sini hari ini.
Beliau berkata pinjaman perumahan kepada penjawat awam pada masa
sekarang yang dibuat mengikut kadar gaji dilihat tidak berpatutan dengan
harga rumah yang semakin meningkat dan memaksa mereka membuat pinjaman
dengan pihak swasta bagi menampung perbezaannya.
"Penjawat awam yang bergaji RM1,200 tidak dapat buat pinjaman RM150,000
kerana ikut gaji dia layak RM80,000 jadi macam mana nak beli rumah
bernilai RM150,000, terpaksa buat pinjaman bank yang faedahnya lain,
sudah dua kali hutang, kos sara hidup tinggi," katanya.
Selain itu Omar berkata Cuepacs dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
akan mengadakan siri jelajah bersama ke seluruh negara mulai Jumaat
depan untuk memberi penjelasan kepada penjawat awam selepas kerajaan
bersetuju 81 skim perkhidmatan awam ditambah baik di bawah Bajet 2014.
"60 peratus daripada 1.3 juta penjawat awam belum terlibat, jadi kita
berharap ia dapat diselesaikan dalam tahun ini juga mengikut cadangan
kita supaya mereka dapat menikmati skim di bawah Sistem Saraan
Transformatif," katanya.
Beliau berkata kertas kerja khas dan kertas kerja ringkas telah
diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam (KPPA) untuk melihat kesemua skim, sesuai dengan
bebanan serta risiko tugas terutama skim yang melibatkan penguatkuasaan.
"Penjelasan ini supaya mereka faham kerana ada penjawat awam yang
mendakwa Cuepacs tidak melakukan apa-apa, tidak prihatin dengan skim
mereka, kenapa 81 skim sahaja. Bukan Cuepacs tidak buat apa-apa, kita
ada bincang dan JPA sedang membuat skim secara menyeluruh, beri sedikit
masa kepada JPA," katanya.
Dalam perkembangan lain, Omar berkata beliau tidak akan mempertahankan
jawatannya pada pemilihan jawatankuasa baharu yang dijadual berlangsung
sempena Konvensyen Tahunan Cuepacs pada 17 hingga 19 Dis ini di Menara
PGRM di Cheras, Kuala Lumpur.
"Sudah tujuh tahun saya sebagai presiden sejak 2006, bagi saya
cukuplah, biarlah pemimpin yang baharu dan muda dengan idea-idea baharu
untuk membawa Cuepacs ke arah yang lebih maju. Setiap pemimpin itu ada
gaya tersendiri," katanya.
Beliau berharap perwakilan akan membuat keputusan terbaik untuk memilih
barisan kepimpinan kongres itu yang mampu mengetengahkan isu
perkhidmatan awam kepada Perdana Menteri dan KPPA. - Bernama
No comments:
Post a Comment